Saturday, December 30, 2006

DUN N06 Batu Talam: Gempur SPR, UMNO Tumbang!

Prolog: Dengan izin Allah, saya hadiahkan sekiranya ada, pahala dari satu bacaan Al Fatihah kepada Allahyarham Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, mantan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Batu Talam, Parlimen Raub Pahang. Beliau meninggal dunia pada pukul 6.15 petang, 27 Disember, akibat barah usus. Saya juga ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Ekoran kematian ADUN dari UMNO, SPR akan mengumumkan kekosongan kerusi DUN N06 Batu Talam, dan seterusnya menetapkan tarikh pilihanraya kecil (PRK). Sehubungan ini, belum sempat lagi kerusi DUN dengan rasminya diumumkan kosong, UMNO telah pun mencanangkan keupayaan mempertahankan kerusi tersebut.

Dan PAS, sebagaimana biasa dalam keadaan sebegini, juga telah mengishtiharkan kesanggupan untuk memberi UMNO tentangan sengit.

Lantas terlintas dalam hati kecil saya: Tak kan setakat “tentangan sengit” saja cita-cita PAS Pahang dengan DUN Batu Talam? Kalau awal-awal lagi sudah pesimis, sudah tidak punyai cita-cita besar, usahlah dibazirkan air lior, elok serahkan kerusi tersebut kepada KeAdilan saja. Senang begitu, sekurang-kurangnya PAS tidak sakitkan hati ahli/penyokong se Malaysia.

Selain dari insiden tersohor yang terjadi kepada Allahyarham Dato' Mazlan Idris ADUN Batu Talam yang dikerat 18 oleh Mona Fendey dan suaminya dalam tahun 1993 dulu, apakah yang menggerunkan sangat tentang DUN Batu Talam?

Adakah kerana PAS tewas 2,761 undi ditangan UMNO dalam PRU 2004 dulu maka itu DUN Batu Talam menggerungkan? Kalau itulah sebabnya, maka tenunglah jadual di atas sepuas-puasnya dan perhatikan perkara berikut:

  • Undi Rosak.

Jumlah undi rosak “kekal” pada tahap 239/238 undi dalam kedua-dua PRU. Membayangkan bahawa jumlah pengundi yang “buta huruf,” atau yang cacat penglihatan, atau yang kudung jari, atau yang berprotes, adalah tidak berubah.

Cuma beza satu undi sahaja dalam PRU 2004. Mungkin sipengundi “malang” ini sudah pindah atau pun meninggal dunia. Namun “geng pengundi rosak” ini masih sebanyak itu juga.

Arakian soalan lucah saya kepada SPR – kamu orang sengaja isytihar 238 undi penyokong PAS sebagai “rosak,” ya? Kamu orang memihak kepada UMNO, ya?

Dan soalan brutal saya kepada “polling agent” PAS – kamu orang tak sekolah atau apa? Kamu orang hangguk saja setiap kali orang SPR tunjuk/kata sesuatu kertas undi itu rosak? (Bantahlah, oi! Kalau tidak yakin) Apa? PAS Kawasan, PAS Negeri tidak latih kamu? Atau memang kamu sudah ada “ehem-ehem” dengan UMNO?

Maaf jika saya telah berkurang ajar, tetapi sememangnya hal-hal sebegini yang boleh menentukan kalah menang parti. Janganlah jadi kerja kita di peringkat akar umbi hebat, tetapi bila sampai bab-bab “polling agent” dan “counting agent” kita bengap. Ini semua “kes nanya” – rosak susu sebelanga dek nila setitik.

  • Jumlah pengundi berdaftar turun – undi UMNO naik.

Di antara tahun 1999 dan 2004 jumlah pengundi berkurangan seramai 136 orang. Biasalah itu, ada pengundi yang meninggal dunia, ada yang pindah dan sebagainya.

Di antara tahun 1999 dan 2004 undi UMNO bertambah 1,061 undi. Di masa yang sama undi PAS merosot 769 undi. Macam mana boleh jadi begini?

Katakanlah 769 undi yang PAS dapat dalam tahun 1999 dulu itu adalah undi penyokong UMNO yang marahkan Tun Dr Mahathir. Dan dalam tahun 2004 kerana faktor pembenci sudah tiada, maka mereka semua kembali pangkah UMNO. Kalau itulah yang berlaku, maka penambahan undi UMNO dalam tahun 2004 mestilah 769 dan bukan 1,061. Mana datang 292 undi ekstra (subsidi) untuk UMNO?

Seperti yang saya telah berulang kali leterkan dalam blog ini, kata orang Kelantan, beleber, kunci dan rahsia hakiki kejayaan UMNO dalam setiap PRU adalah terletak dalam senarai/daftar pengundi. Semak, awasi dan ulang semak daftar pemilih, dan pastinya PAS akan boleh jumpa hantu-hantu belaan UMNO! Bela hantu berpawangkan SPR.

Jadual di bawah datangnya dari sumber yang sama seperti yang saya perihalkan sebelum ini. Dan sebelum tuan/puan merenung jadual tersebut, baca amaran ini. (Klik di sini). Sekali lagi saya ingatkan baca dengan cermat dan fahami amaran saya tentang data daftar pemilih yang saya perolehi sebelum tuan/puan melatah dan melenting tidak tentu pasal.

Berpandukan data daftar pemilih yang ada, saya jangka tidak kurang dari 263 pengundi adalah mereka-mereka yang tersenarai dalam lebih dari satu Peti Undi dalam DUN Batu Talam. Maksud ada seramai itu pengundi yang “dibolehkan” mengundi lebih dari satu kali.

Hanya dengan berlakunya fenomena ini (mengundi lebih dari sekali) maka angka 292 undi ekstra yang UMNO dapat dalam tahun 2004 dulu dapat dihuraikan dengan munasabah! (Apapun, saya bersedia mendengar penjelasan alternatif yang lebih munasabah dari mana juga pihak, khususnya, SPR).

Amacam, PAS Pahang? DUN Batu Talam hanya ada 12 Peti Undi. Dan dalam pada itu pun, hanya tiga Peti Undi sahaja yang nampaknya “bermasalah.” Tak kan benda “celah gigi” sebegitu pun tidak boleh diselesaikan?


Epilog: Tuan Guru Nik Abdul Aziz pesan bahawa DUN Batu Talam adalah laluan mudah. Cerdik-cerdiklah berusaha ke arah itu.

Tuesday, December 26, 2006

Blogger & Extra Judicial Terrorism

Prolog: Punca masalah Thaksin Shinawatra perdana menteri Thailand yang digulingkan melalui coup de tat tentera adalah kerana extra judicial killings, pembunuhan di luar batas undang-undang 1,600 orang yang disyaki pengedar dadah. Pusingan pertama siri letupan bom di Selatan Thailand dalam tahun 2004 dulu adalah dipercayai sebahagiannya berpunca dari balas dendam terhadap perbuatan Thaksin.

Lebih kurang, maksud “extra judicial” ialah tindakan kerajaan/pemimpin yang di luar kebenaran, atau tanpa kebenaran undang-undang. Lantaran jika dikatakan “extra judicial terrorism” maka ianya lebih kurang bermaksud – keganasan oleh kerajaan/pemimpin yang diluar kebenaran undang-undang negara.

Eh? Pembaca bertanya. Keganasan ada yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan undang-undang? Ya, sememangnya begitu.

Jika anda ditahan di bawah undang-undang ISA, maka itu “keganasan” terhadap anda yang dibenarkan undang-undang. Penahanan dibuat atas arahan kerajaan/pemimpin, manakala polis atau lebih popularnya, Cawangan Khas (SB) adalah jentera pelaksana. Maksudnya telah berlaku satu due process, atau pertimbangan dan proses undang-undang yang merumuskan bahawa anda (atau saya) layak ditahan di bawah ISA.

Soal samada due process itu sendiri adalah adil atau tidak, itu soal lain. Pokoknya due process telah dibuat. Yang mana due process sebelum penahanan/penghukuman adalah penzahiran dan pengesahan bahawa kerajaan/pemimpin menghormati hak asasi anda dan saya sebagai seorang manusia.

Bagaimana pula dengan extra judicial terrorism? Keganasan yang dilakukan oleh kerajaan/pemimpin diluar had undang-undang. Ianya tiada beza dengan perbuatan jenayah seperti culik, kurung, mencederakan dan/atau ugut dengan kekerasan. Yang melakukan perbuatan tersebut adalah penjenayah, dan yang mengarahkan perbuatan itu pun, penjenayah.

Kemana saya hendak bawa pembaca dengan cerita ini? Jangan bimbang. Saya cuma mengajak tuan/puan meneka apa sebenarnya telah berlaku kepada, “Sheih,” pemilik blog Kickdefella.

“Drama” kehilangan Sheih pertama dibawa ke mata masyarakat siber oleh blogger terkemuka Rocky’s Bru. Catitan ini kemudiannya disambut oleh Gerbang Ruhanie yang juga menyuarakan kebimbangan sesuatu yang buruk telah berlaku ke atas Sheih. Dan serentak komentar di blog-blog tersebut, topik ini telah hangat dibincangkan di KMU Dot Net.

Amnya, semua yang membincangkan kes kehilangan Sheih membayangkan persoalan samada Sheih telah ditahan di bawah ISA kerana menggonjengkan (menghina) Abdullah Ahmad serta Menantunya.

Petang tadi (Disember, 25) misteri kehilangan Sheih telah terjawab. “Sheih” telah mengumumkan penutupan blog asalnya, dan membuka blog baru – Kickdefella Return of the Prodigal Son.

Dua perkara tentang insiden “tutup-buka” blog ini yang menarik perhatian saya.

Pertama, kias “Sheih” dalam blog lamanya, yang terang-terangan berbunyi meminta maaf kepada seseorang/sesuatu.

Kedua, amaran “Sheih” dalam blog barunya kepada bloggers lain tentang apa yang boleh ditulis dan tidak dalam blog masing-masing.

Apa yang boleh kita semua rumus dari peristiwa ini? Selain dari hakikat bahawa blogging -- menyuarakan pendapat -- dalam aliran menentang regim pemerintahan yang ada kini adalah paling ber-risiko.

Blogger Abd Zarin Bin Mohd Yasin telah dipecat dari UMNO kerana mengkritik regim Abdullah Ahmad melalui blognya. Terdahulu dari itu, YB Datuk Husam Musa Naib Presiden PAS telah diugut saman mahkamah kerana menggebangkan skandal pembelian saham ECM-Libra oleh Menantu Abdullah. Dan saya percaya bahawa "raja segala blogger" yakni Raja Petra Kamaruddin (RPK) sendiri pun telah pernah diugut ekoran siri penulisan The Khairy Chronicle. (Soal RPK hendak mengakui hakkat ini atau tidak, itu soal lain).

Apa yang menarik tentang tindakan-tindakan yang telah dibuat ialah pertanda perasaan takut dan aib yang teramat sangat yang membawahi, mendorong tindakan. Seolah-olah pihak yang bertindak adalah terlalu nipis telinga, dalam keadaan terlalu tidak yakin diri, pantang dikritik, lantaran rasa terpukul. Insecurity at its nadir.

Rocky’s Bru menyuarakan persoalan samada perubahan sikap Sheih adalah berpunca dari di turn over atau telah di beli. Bagi saya, persoalan itu tidak penting. Sebab sikap saya dalam hal ini adalah mudah. Berani buat beranilah tanggung.

Tetapi apa yang teramat penting ialah samada Sheih sampai ke sikap itu setelah menjalani proses yang dibenarkan oleh undang-undang. Samada Sheih telah ditahan di bawah undang-undang ISA.

Jika benar Sheih telah ditahan di bawah ISA, maka soalan saya adalah mudah – Mengapa keluarga dan sahabat terdekat beliau tidak tahu ke mana beliau menghilang diri (hampir sebulan)? Lazimnya polis memberitahu keluarga mangsa tentang penahanan.

Sebaliknya, andaikata Sheih telah dikenakan tindakan extra judicial terrorism maka implikasinya adalah terlalu besar. Malaysia bukan lagi sebuah negara demokrasi! Pemerintahan bukan lagi untuk rakyat, oleh rakyat. Tetapi segalanya telah menjadi milek peribadi. Hinggakan wujud pasukan "polis" peribadi. Atau mudah cakap -- Mafia peribadi.

Mengapa boleh jadi begitu? Mungkin kerana pasukan keselamatan dalam negeri yang rasmi milek negara, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan Cawangan Khasnya (SB) telah dilihat "enggan" atau "lambat" bertindak menangani hal-hal "national interests" -- kepentingan negara.

Sehubungan ini mungkin telah timbul sedikit percanggahan tentang takrif apa itu "national interests" di antara PDRM dengan elit negara masakini yang berkepentingan. PDRM dan SB mungkin mempunyai satu piawai, rujukan sejarah dan budaya pemikiran yang tersendiri tentang apa itu maksud "mengancam keselamatan negara." Yang mungkin tidak merangkumi kepentingan "politik kedinastian" mana-mana individu. Manakala di pihak yang lain pula, national interests hanyalah bermaksud kepentingan air muka pemimpin dan keluarganya.

Lantas sikap -- kamu orang tak nak buat, kamu lengah-lengah, aku buat sendiri. Aku pun mampu mengupah.

Korollari tesis ini? Sama-samalah kita spekulasikannya.


Epilog: Maka itu saya ingatkan diri saya sendiri. Orang yang biasa dengan seluk beluk “permainan” mistik sepatutnya tahu dan faham bahawa kuasa dan kegemilangan adalah hanya satu tempuh semata-mata. Tempuh berlangsungnya perjanjian syaitan. Di hujung tempuh ialah kehinaan.

Monday, December 25, 2006

Nota Mental Selama 3 Hari: Siapa Sebenarnya Menteri Pertahanan?

Banjir terburuk di Johor dalam tempuh 100 tahun. Tuan/puan pun lagi tahu cerita terperinci tentang peristiwa yang belum lagi habis melanda ini. Darihal ribuan tragedi individu. Tuan/puan lagi tahu.

Namun, saya kira tuan/puan tidak perasan bahawa dalam kelam kabut tragedi, krisis, yang menimpa, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kita seakan-akan terkaku. Seolah-olah sama ketandusan idea seperti Perdana Menteri dan Menantunya. Atau mungkin, sama seperti dengan geng bangsawan-baru ini, semua anggota dan pegawai ATM pun turut bercuti.

Di mana command and controlarahan dan kawalan angkatan bersenjata kita yang perlukan berbilion ringgit setahun untuk dibela dan digembirakan? (Mengapa? Menteri Pertahanan masih dilamun ekstasi dan khayal berlaga pipi dengan Salman Khan!)

Ya, saya pasti, pada skala kecil-kecilan ATM pun turut membantu mangsa banjir di Johor. Itu saya tidak nafi. Tetapi saya sebagai rakyat yang pernah bayar cukai merasa kecewa dengan lapuran skala penglibatan ATM.

Tak kan ATM hanya mampu turunkan 120 orang anggota dan pegawai manakala Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia boleh gerakkan 3,000 petugas untuk operasi selamat dan bantu? Apa punya cerita ni?

Ya lah, kalau digebangkan tentang kederasan respons saf kepimpinan dan jentera PAS terhadap tragedi banjir di Johor, pembaca akan tuduh saya over pula. Terlebih promosikan PAS. Tetapi saya ajak tuan/puan secara realistik terokai arkib berita Malaysia, dan sangkal sindiran saya. Jika saya silap, sila beritahu.

Biasiswa dan pembiayaan untuk anggota dan pegawai ATM adalah berjuta setahun. Tak kan lah seramai-ramai yang telah dihantar berkursus di luar negara itu, tada seorang pun yang ikuti kursus pengurusan krisis (crisis management)? Kalau public order (keamanan awam) pun tidak boleh beri sumbangan menyerlah, apakah rakyat boleh harapkan ATM untuk menyelamatkan negara, sekiranya diserang dari luar?

Di mana silapnya dengan ATM? Silap di peringkat menteri? Kalau itulah punca, maka buatlah petisyen supaya ganti/tambah dengan menteri muda. Saya congak, dari kalangan pegawai dan anggota perajurit wanita pun ramai yang layak dan masih perawan.

Nota Mental Selama 3 Hari: Satelit & Pokok Kapal Terbang

Alhamdulillah, Kelantan tidak jadi banjir. (Hanya TV3 yang kemaruk hendakkan Kelantan banjir).

Malah cuaca sebenar dalam tempuh tiga hari lepas adalah tidak sampai 10% dari apa yang diramalkan berpandu data satelit. Maka peristiwa ini menjadi satu pengajaran moral bagi saya – teknologi dan ilmu modern dan canggih tidak semestinya betul dan tepat. Sememangnya tiada apa yang dapat menduga Ilmu Allah. Menambahkan lagi keyakinan saya akan pesanan Rasulullah, bahawa doa itu mampu merubah “takdir.”

Sebenarnya, sebelum saya membuat posting ramalan banjir Jumaat (Disember, 23) lepas, saya telah pun pusing keliling kawasan Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Buat kerja bodoh (resmi saya lah tu), tinjau samada pokok kapal terbang yang banyak di situ berbunga atau tidak. Dan memang banyak pun yang sudah mengeluarkan bunga! Cuma pokok derdap saja yang saya tidak berjumpa.

Pokok kapal terbang dan pokok derdap adalah dua “satelit cuaca” orang tua-tua Kelantan. Zaman tiada akses kepada internet dan data satelit cuaca dulu, berbunga atau tidak kedua-dua pokok ini adalah pertanda banjir.

Kalau pokok-pokok ini berbunga, maka kemungkinan besar, banjir tidak akan berlaku, waima keadaan hujan dan angin menyelubungi. Sebaliknya, cuaca panas terik sekalipun, kalau pokok-pokok ini tidak berbunga di bulan November dan Disember, maka kemungkinan besarnya, banjir akan berlaku,

Itu pedoman orang tua-tua. Yang mana selama ini, kebetulannya tepat. Malah saya ada seorang kawan yang telah belanja sakan tahun lepas kerana menang bertaruh samada jadi banjir atau tidak. (Maaf ya, saya tidak suka bertaruh -- haram hukumnya. Namun, orang memberi kita merasa. Fakta diketahui hanya selepas kenyang).

Selain dari menjadi satelit ramalan banjir, pokok kapal terbang juga kerap digunakan oleh orang tua-tua dulu sebagai ubat luka dan gatal. Sehingga titik ini, saya kira pembaca mungkin telah mendapat gambaran bahawa saya sedang mempromosi sains dan seni “bomohologi” dan “dukunologi.”

Ya, saya akui saya memang gemar dan minat akan petua dan pedoman Melayu lama. Tetapi hingga ke satu tahap saja. Bab petua ubat-ubatan dari herba dan pokok tempatan saya tidak berapa setuju. Sebabnya mudah, kerana saya dapati, tidak seperti sains Ayurvedic, preskripsi ubatan Melayu jarang memberitahu secara tepat bahagian pokok yang mustajab, dos, dan cara penyediaan ubat. Bab ini, tuan/puan kajilah sendiri.

Kembali kepada tajuk, sekali lagi saya bersyukur kehadrat Ilahi kerana Kelantan tidak banjir tahun ini.

Friday, December 22, 2006

TANBIH: PAS Kelantan Sila Bersiap Sedia Hadapi Banjir!

Bermula senja Ahad, Disember 24 (malam Hari Krismas), Kelantan akan dilanda hujan berserta angin kencang selaju 32 kilometer/jam. Sila rujuk ramalan cuaca di sini Weather Underground.

Amati bahawa air hujan dari kawasan bukit di Ulu Kelantan, di Jajahan Gua Musang khususnya, biasanya mengambil masa 8 hingga 10 jam untuk sampai ke kawasan rendah sekitar Kota Bharu. Bersedialah menghadapi banjir di pagi Isnin. (Raya Haji tahun ini kita relaks lah, ya?)

Kakitangan Hospital Kota Bharu dan hospital-hospital lain diharap sudah bersiap sedia untuk lakukan evacuation pesakit jika perlu. (Ya, saya tahu stok makan kering di Hospital Kota Bharu sudah sedia sejak minggu lepas lagi.)

Aktivis dan penyokong PAS diingatkan supaya bersiap sedia untuk membantu umat yang dalam kesusahan. Sila pastikan stok makanan kering dan selimut berada ditempat tinggi. Juga pastikan enjin motor sangkut, sampan dan perahu berada dalam keadaan operational.

Perhatikan juga kebajikan penduduk pesisir pantai yang akan berdepan dengan masalah ribut. Juga jangan lupakan rumah anak-anak yatim dan pondok-pondok yang ramai Warga Emas.

Kalau boleh, lakukan solat hajat berjemaah selepas sunat Dhuha bermula esok di seluruh Kelantan.

Kalau tiada apa-apa masalah, baguslah. Kalau ada, kita sudah bersedia. Tuhan berserta kita. Insyaallah, kita akan atasi semua masalah, jika timbul.

Terima kasih.

Hati Budi Hadhari: Telefon Satelit & Najib Razak Yang Berbohong

Prolog: Tuan Hamba bukanlah dalam liga yang sama.

Kalau diikutkan hati, punyalah banyak perkara yang saya hendak ceritakan. Rasanya macam tidak mahu berenggang dengan komputer saya yang usang ini. Ya, “usang,” dalam konteks kepesatan kemajuan teknologi dunia kini. Tetapi tidak berenggang kalau, boleh dijamin Mak Andir akan pastikan Pak Andir akan kelemasan banjir air mata tangisan batin.

Tersebut tentang kepesatan kemajuan teknologi, teringat saya akan telefon satelit. Yang khabarnya sejak zaman Tun Dr Mahathir mentadbir Malaysia lagi, Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri) telah dibekalkan dengan berbelas buah telefon satelit. Pejabat Perdana Menteri pun juga khabarnya ada tidak kurang dari sedozen telefon ini.

Maksudnya, dalam apa juga keadaan dan suasana, selagi masih ada di permukaan bumi ini, Malaysia tidak akan terputus hubungan dengan Perdana Menetrinya kalau beliau berada di luar negeri. Dan begitu juga dengan duta-duta yang berada di negara luar.

Tetapi kalau sudah tidak berada di permukaan bumi, maksudnya kalau sudah masuk ke perut bumi, itu lain cerita. Dalam tanah, lebih-lebih lagi kalau sudah tertimbus, telefon satelit tidak punyai fungsi lagi. Begitu juga kalau semua alat perhubungan telah di-offkan supaya waktu santai masa cuti tidak terganggu. Terutama kalau jari jemari tengah sibuk dengan seni-seni halus yang lain. Telefon satelit tiada fungsinya.

Sebab itu saya berani tuduh Najib Tun Razak itu berbohong.

Di lapurkan beliau berkata bahawa Perdana Menteri Malaysia yang sedang bercuti kirim salaam kepada rakyat yang dilanda musibah. Huh. Oi! MALAYSIA DI LANDA BENCANA. Ucaplah segala kesal, resah dan takziah sendiri. Itu budaya Melayu. Penzahiran hati budi Melayu. Bukan melalui wakil. Bukannya dunia ini berada di zaman batu. Alat komunikasi canggih bersepah dijual ditepi jalan.

Betul lah, kapal layar, artefak ketamaddunan manusia masih punyai nilai functional dan estetika, tapi kalau iapun, buat lah video conferencing. Buatlah live telecast dari mana juga Perdana Menteri Malaysia berada, untuk tunjuk simpati dengan nasib negara. Nasib manusia yang memangkah “Dacing.”

Tak kan nak tunggu siap kapal layar peribadi baru nak buat grand entrance”?

Kot dihantar video rintihan keprihatinan melalui telefon bimbit kepada BERNAMA atau RTM, pun, rakyat boleh faham betapa Perdana Menteri sedang melakukan tugas genting demi negara. Ini tidak, sampai timbalan boneka terpaksa berfikir untuk bikin cerita.

Dah tu, mana pergi Menantu yang jadi pelengkap dalam pesta saling mencebok itu hari? Tak kan nak biarkan Isam Keris saja yang dapat perbatuan publisiti, publicity mileage.

Mengapalah, lambat benar rasanya tiba PRU 12 ini?

Thursday, December 21, 2006

Johor Banjir: Jual Belum Habis Lagi – Tuhan Dah Tunjuk

Sebenarnya saya alergik sakan bila dengar atau terbaca frasa “SJERSouth Johor Economic Region.” Malah kalau sebut “Singapore” pun saya mual. Tetapi kerana nak bawa cerita Johor di landa banjir, maka saya terpaksa tahan rasa loya seberapa yang boleh. Tetapi itu pun tak boleh lama dan cerita panjang-panjang.

Dalam mementingkan diri masing-masing, ahli UMNO Johor yang mengampu dan menyokong rancangan Dollah Ahmad Nasrul Haq dan Menantunya untuk menjual sebahagian tanah Johor kepada Singapore, sebenarnya mengkhianat bukan saja bangsa, tetapi diri mereka sendiri.

Dan bala dari perbuatan itu sudah pun terlunas awal-awal lagi. Sedarlah bahawa banjir yang melanda kini adalah satu bala!

UMNO dan media belaannya lazimnya akan kutuk kerajaan negeri Kelantan, laksana Tuhan itu tidak merakamkan dan mereka semua mabuk tuak masam, setiap kali banjir melanda Kelantan. Tetapi kali ini bila Johor dilanda banjir besar, tidak pula mereka menuding jari akan kejahilan mereka sendiri dalam hal-hal peparitan. Mengapa? Malu mengaku bahawa kuasa Tuhan itu tiada tertahan dek manusia?

Mengapa Johor boleh dilanda banjir? Ya lah, memang pun hujan lebat adalah penyebab. Tetapi sebab sebenar banjir ada kena mengena dengan perbuatan Singapore yang mementingkan diri sendiri tanpa fikir kebajikan orang lain. Khususnya kesan terhadap Melayu.

Banjir yang melanda Johor kini sebenarnya telah diramal oleh seorang cendikiawan Melayu dari Universiti Teknologi Malaysia hampir empat tahun dulu!

Sebab hamba Allah tersebut berani membuat ramalan ialah kerana kelebaran Selat Johor telah terjejas di kawasan berhadapan Pulau Ubin dan Pulau Tekong ekoran kerja-kerja menambak laut yang Singapore lakukan untuk membesarkan pulau-pulau tersebut.

Tujuan sebenar Singapore berbuat demikian ialah untuk mensabotaj Malaysia dengan cara menghalang kemasukan kapal-kapal besar ke Pelabuhan Pasir Gudang. Bila pulau-pulau tersebut menjadi besar, laluan Selat Johor menjadi sempit. Dah boleh nampak sebab dan kesan? Mudah kan?

Masalahnya, bila Selat Johor jadi sempit, air yang mengalir dari sungai-sungai Johor membuatkan laut mudah menjadi sebak. Pantang hujan lebat sikit dari biasa, jadilah laksana longkang yang tersumbat. Khususnya bila air yang mengalir dari sungai bertembung di muara dengan air laut yang pasang. Air nak mengalir ke mana? Kalau tidak melimpahi Stadium Larkin dan segala bumi Johor yang rendah.

Tak kan nak tunggu tenggelam Gunung Ledang baru nak sedar! Bahawa berbaik dengan Singapore itu, berlembut dan memberi muka kepada Singapore dalam apa juga hal, adalah khianat yang mengundang celaka.

Tersentuh jua hati saya melihat dan membaca cerita saudara sebangsa dan seagama saya, warga Johor yang mendokong Abdullah Ahmad dan Menantunya hanyut bersama UMNO mereka.

Tetapi apakan daya, itu pilihan mereka.

Wednesday, December 20, 2006

WOW! Johor Bah. Pasir Terengganu Berubah

Ahhhh. Tahun ini, seperti tahun lepas, tengkujuh tidak menjadi di Terengganu. Tiada pesta angin, guruh dan hujan. Tetapi sebagai ganti, ada pesta jari jemari Perdana Menteri dan Ah Moi James Bond. Pun, meriah juga nampaknya.

Dalam perkembangan yang lain, Utusan Malaysia hari ini (Disember, 20) melapurkan bahawa Johor kini sedang di landa bah, istilah orang Kelantan bagi kata, banjir.

Inilah namanya Hikmah dan Kebijaksanaan Allah. Idris Jusoh bersusah payah berdoa dan upah orang solat hajat supaya Terengganu di landa tengkujuh (dengan segala kerosakan harta dan kehilangan nyawa rakyat yang datang bersamanya), demi menjayakan rancangan takbur menantu Perdana Menteri – Monsoon Cup, tengok-tengok, Johor pula yang dapat banjir (bencana).

Mungkin kerana Idris Jusoh atau menantu Perdana Menteri tidak berpuas hati dengan perlaksanaan tengkujuh tahun ini, yakni tengkujuh yang tidak cermerlang dan terbilang, maka nampaknya, Setiausaha Kerajaan Negeri telah di/ber-tindakan “bersara awal.” Langsung memerlukan rombakan besar-besaran jentera pentadbiran negeri.

Lazimnya, bila berlaku rombakan jentera pentadbiran negeri, berlakulah perpindahan pegawai dari satu daerah, jawatan atau jabatan, ke tempat, pejabat atau pangkat lain. Mana pegawai yang bernasib baik akan merasa kenaikan pangkat, manakala yang tidak bernasib baik akan dilihat umum sebagai di “storan sejuk,” atau seumpamanya.

Syahdan, pengamatan saya.

Bukan saja kakitangan dan pegawai negeri yang boleh berpindah randah. Dicatur ke sana ke mari. Pengundi pun boleh dibuat demikian. Dalam screen capture (imbasan skrin) di atas amati bahawa daftar pemilih untuk DUN N19 Ru Rendang dan N18 Bukit Payong di Terengganu mempunyai nama yang “bertindeh.” Diberi satu nama, pengundi nampaknya seolah-olah boleh mengundi di dua DUN serentak. Sekali di Bukit Payong, dan sekali lagi di Ru Rendang. Fenomena ini melibatkan 272 nama.

Dari formasi (formation) pengundi di atas (seolah-olah setengah batalion Askar Wataniah), tekaan pembaca adalah sama tepat dengan sangka saya. Nak kata pengundi dari Bukit Payong di kerah untuk “menyerang” Ru Rendang, boleh; dan nak kata pengundi Ru Rendang pergi “gempur” Bukit Payong, pun, boleh.

Dalam ketidakpastian begitu pun, kalau saya diajak bertaruh, saya berani kata Tuan Guru Haji Hadi yang dulu bertanding, dan kini menyandang kerusi ADUN Ru Rendang, nampaknya telah/akan di”gempur.”

Tidak dapat dipastikan corak data yang terjadi sedemikian itu angkara siapa. Tetapi pembesar UMNO kawasan tersebut telah pun siang-siang lagi jerit kata ada “pengundi hantu.” Entah betul entah tidak, wujudnya makhluk seperti yang didakwa. (Biasalah dengan UMNO, sejarah menunjukan bahawa dalam banyak onar, awal-awal lagi sebelum disyaki, akan sembunyi tangan dan tuding orang lain).

Apapun, kalau SPR dengan rasa penuh tanggung jawab, dan berani “membersihkan” daftar pemilih DUN-DUN ini, malah daftar pemilih seluruh negeri Terengganu, saya berani bernazar cukur kepala, bahawa PAS akan berjaya tawan Terengganu dalam PRU ke 12 kelak.


PERINGATAN:

Niat penulis serta imbasan skrin di atas dan segala tafsiran darinya hendaklah berlandaskan, disepuh, amaran tentang data yang diberi sebelum ini dalam komentar Terima Kasih TRANUNGKITA ONLINE. Ini Ada Sedikit Buah Tangan.

Seorang "peminat" blog ini yang tidak dikenali, yang menggunakan nama e-mail "Amani Advisor," telah menghantar gambar Isam di atas untuk dikongsi bersama.

Tuesday, December 19, 2006

Talkin Untuk UMNO: Kesimpulan

Sudah jelak dan muak dengan cerita “real politics,” politik sebenar?

Tuan/puan tidak perlu jawab. Sebab saya boleh agak. Catitan-catitan saya sebelum ini tentang A-B-C berpolitik diakui adalah “kering,” menjurus kepada perbincangan akademik. Tidak seronok baca. Semuanya cerita yang tidak sesuai dengan jiwa politik ramai pembaca, kerana hampa-sensasi.

Begitulah hakikat politik, terlalu banyak kerja remeh temeh yang perlu dilakukan. Kerja-kerja yang tidak glamer lagi membosankan. Kerja yang tidak nampak di mata audiens, lantaran tiada peminat yang bertepuk atau bertakbir.

Malah bagi saya, tiada beza kerja politik sebenar dengan hakikat menjaga seorang bayi. Seorang bapa lazimnya terlalu megah memperagakan dan memperkenalkan – baby ini anak sulung/bongsu saya. Senyumnya kiut (cute). Sentiasa riang, rupanya hensem, mirip Tok Wan dia. Mata mengikut Mak Nik dia.

Kucii .. kuciii .. boboiiii ... baby diagah. Audiens tumpang senyum sama.

Siapa yang nak dengar cerita tentang cuci/tukar lampin? Tentang kena bangun pukul 3.00 pagi buat susu? Tentang betapa mem-boring-nya kena dodoi baby yang tak nak tidur? Itu belum cerita baby kembung atau demam tumbuh gigi lagi. Terlalu menjelakkan ceritanya. Tiada unsur sensasi.

Tetapi ini semualah hakikat sebenar dapat anak dan membesarkan anak. Aspek “bangun kena buat.” Silap atau malas dalam aspek ini, kita yang menyesal dan menangis. Dan kerapnya mendapat malu bila disindir oleh doktor atau jururawat.

Seperti juga dengan hal-hal peti undi. Hal-hal pilih calun. Hal-hal cawangan. Hal-hal daftar pemilih. Gagal kita memberi tumpuan kepada aspek begini, kita pembangkang ditertawakan penyokong dan lawan. Kokok aja yang berderai-derai. Nama pengundi tersenarai di lebih dari satu peti undi dalam satu DUN, pun tidak perasan. (Atau saja buat tidak perasan? Apa yang nak dihairankan, ya! Sedangkan di kalangan sahabat Rasulullah pun ramai yang munafik).

Burung yang dah terlepas dari sarangnya, barang yang sengaja dilepas, usahlah ditangiskan. Memekak dan melalak after the fact, perkara dah berlansung, adalah terlalu bodoh dan hodoh rupanya.

Kegagalan dalam aspek yang disebut semasa PRU 2004 dulu, telah menyebabkan PAS di “serang hendap” oleh UMNO dibanyak kawasan, kecuali di Kelantan. Maka ketokohan kepimpinan PAS diperlekeh orang. Cakap PAS tiada siapa nak dengar, dan kalau pun dengar, dipertikaikan dek dunia. Tiada orang yang mahu kenal PAS. Dan inilah nasib PAS hari ini.

Seorang perempuan yang gagal dalam aspek lampin dan susu bayinya, akan dianggap tidak layak jadi seorang ibu. Kata orang Kelantan, menantu jadi menate. Sesebuah parti politik yang tidak tahu nak uruskan hal-hal cawangan, daftar pemilih dan mengurus saluran, sebenarnya tidak layak mentadbir negeri, hatta negara.

Mudah kan? Congak untuk menilai samada PAS sudah bersedia untuk mengambilalih pentadbiran negara dari UMNO.

PERINGATAN: Niat penulis serta gambar di atas dan segala tafsiran darinya hendaklah berlandaskan, disepuh, amaran tentang data yang diberi sebelum ini dalam komentar Terima Kasih TRANUNGKITA ONLINE. Ini Ada Sedikit Buah Tangan.

Sunday, December 17, 2006

Terima Kasih TRANUNGKITE ONLINE. Ini Ada Sedikit Buah Tangan

Saya sungguh terharu dengan penghormatan yang tuan-tuan WebMasters TranungKite Online beri kepada blog saya. Terima kasih kerana telah menyenaraikannya sebagai salah satu link di TranungKite Online.

Kita saling tidak mengenali, baik secara zahir atau maya. Kita tidak pernah bertukar e-mail, atau ber-SMS, dan saya tidak pernah selami apa kriteria yang tuan-tuan gunakan untuk “memperakukan” sesuatu blog kepada pengunjung laman web tuan-tuan. Apapun, dan sekali lagi – terima kasih.

Orang berbudi kita berbahasa. Dalam membalas budi baik dan penghormatan tuan-tuan, terimalah sedikit sumbangan ikhlas dari saya.

Tetapi sebelum saya pergi lebih jauh, sila ambil perhatian tentang dua perkara.

Pertama, saya tidak berniat sama sekali untuk memburukkan nama sesiapa. Kalaupun saya terpaksa menyebut nama seseorang, ianya semata-mata kerana hendak menjelaskan konsep apa yang berlaku, atau menyerlahkan implikasi sesuatu penemuan.

Kedua, saya “tersepak,” “terpijak” satu pen drive yang mengandungi maklumat berikut. Tetapi sebelum tuan-tuan melatah atau melenting, lantas bertindak tanpa strategi, bertindak tanpa fikir panjang, sila pertimbangkan segala kemungkinan berikut.

  • Kononnya, data yang saya perolehi itu adalah berpunca dari Sistem Semakan Daftar Pemilih 2003 oleh Jabatan Teknologi Maklumat PAS Pusat (2000 – 2003) yang dikemaskini sehingga 18 Jun, 2005.

Amnya, setelah meneliti data, saya dapati ianya “tidak menyakinkan” kerana terdapat banyak nama pemilih yang bertindih bagi sebilangan besar DUN Terengganu. Perkara berikut adalah munasabah dalam menyebabkan tersenarainya nama-nama yang bertindih.

  • Nama bertindih sememangnya sifat hakiki daftar sejak dari SPR.
  • Terdapat kesilapan dalam aturcara (program) komputer yang menyediakan senarai tersebut di peringkat Jabatan Teknologi Maklumat PAS Pusat.
  • Tiada silap yang berpunca di SPR mahupun rekabentuk sistem yang digunakan oleh Jabatan Teknologi Maklumat PAS Pusat, tetapi sistem dan data di peringkat pengguna telah dijangkiti virus hingga menyebabkan kerosakan kepada sistem dan/atau data.
  • Jikapun tidak disebabkan virus, terdapat kecacatan atau kerosakan fizikal pada hard disk atau pen drive atau komponen lain komputer di peringkat pengguna hingga menyebabkan Sistem SDP 2003 menjadi rosak.

Bertolak dari peringatan di atas, berikut ialah pengamatan saya.

Jika tuan-tuan di Terengganu masih kebingungan mengapa PAS boleh kalah teruk dalam PRU 2004 dulu, maka sifat daftar pemilih seperti contoh di atas ialah puncanya. Dalam contoh di atas, nama pengundi “Kamariah binti Awang” dengan nombor kad pengenalan yang sama telah tersenarai sebanyak 205 kali dalam daftar pemilih DUN Bukit Payong.

Nama pengundi ini bukanlah unik. Malah untuk daftar pemilih DUN Bukit Payong, ada tidak kurang dari 500 nama yang sama tersenarai dilebih dari dua UPU. Namun apa yang unik tentang pengundi “Kamariah binti Awang” ialah alamat penama didaftarkan. Perhatikan bahawa alamat penama adalah satu siri belari, running series, kuarters kerajaan di Terengganu.

Perhatikan bahawa alamat “Kamariah binti Awang” adalah JKR 58-180, JKR 58-181, JKR 58-182 dan seterusnya.

Malah saya boleh tunjuk 1,001 contoh lain tentang “kejanggalan” daftar pemilih Terengganu yang digunakan dalam PRU 2004 dulu. Tetapi untuk sementara waktu ini, sila semak daftar pemilih bentuk hard copy yang digunakan di hari mengundi dulu untuk kepastian dan mendapat kesohihan.

Jika saya didapati salah, sila beritahu, dan saya akan berhenti di sini saja. Dan terlebih dahulu saya mohon maaf di atas segala kegusaran yang berlaku.

Tolong sampaikan salam hormat saya kepada Tuan Guru Haji Hadi, keluarga beliau, dan keluarga tuan-tuan.

Saturday, December 16, 2006

Talkin Untuk UMNO: Saluran Peti Undi – Madu & Racun

Siapa bunuh Altantuya? Mengapa peguam Razak Baginda tidak hadir di mahkamah hari ini? Mustahak benarkah inquest pembunuhan Rafiq Hariri bekas Perdana Menteri Lubnan, hingga Muhammad Shafee tidak dapat menemani Razak Baginda. Yang pada awalnya beria-ia benar Muhammad Shafee katakan tidak bersalah sama sekali.

Sejauh manakah penglibatan isteri dan anak tiri Najib dalam kes Altantuya?

Persoalan ini semua adalah bahan gosip politik yang terlalu menarik minat pendengar.

Usahlah dikisahkan samada setakat ini jawapan kepada semua soalan itu mungkin spekulasi liar belaka. Yang penting, pembentangan cerita ini boleh menawan audiens. Dan untuk tujuan politik, adalah terlalu afdhal jika jalan ceritanya boleh dikaitkan dengan kedurjanaan UMNO.

Tetapi sayang, bahan kempen politik ini hanya dimainkan di internet dan coffee house hotel-hotel yang ada tiga atau empat bintang. Dibisikan di kelab-kelab golf. Dituturkan sebagai pemenuh masa sambil menungu lift naik ke karaoke. Gosip yang berlegar di pekan-pekan besar. Terbazir bahan kempen dan isu belaka.

Walhal orang kampung yang juga terlalu ingin tahu, melopong dan sama tertanya-tanya. Warga kampung yang bila tahu, akan kelak menghalakan pensil ke lambang mana yang mereka patut pangkah dalam kertas undi,

Aktivis pembangkang sepatutnya menjadikan penyebaranluas tafsiran tentang kes ini ke akar umbi satu misi suci.

Tak tahu nak mula di kampung mana? Mudah saja. Pergi ke pejabat SPR terdekat dan beli BORANG SPR 760 Pin. 1/99. Harganya cuma RM1/= sekeping. Maklumat yang bakal anda perolehi adalah seperti dalam jadual di bawah.

Maklumat di atas ialah perincian undi hingga ke peringkat saluran UPU bagi DUN N02 Sabak dalam Parlimen P92 Sabak Bernam, Selangor.

Maksud “saluran” peti undi ialah kategori umur pengundi.

Lazimnya “Saluran 1” merujuk kepada pengundi yang berumur 50 tahun ke atas, atau nama pertama hingga 300* dalam daftar pemilih sesuatu peti undi. Saluran 2 selalunya merujuk pengundi di antara umur 30 hingga 49 tahun. Manakala Saluran 3 atau 4 merujuk kepada pengundi berumur 29 tahun ke bawah.

PAS kalah di DUN Sabak dalam PRU 11 dulu.

Tetapi perhatikan bahawa PAS tidak kalah di semua UPU. Malah prestasi PAS di UPU Parit Lima Barat, Parit Satu Barat, Bagan Nira dan Parit Enam adalah menyamai prestasi PAS di peringkat UPU di Kelantan.

Selain dari pengamatan tersebut, perhatikan bahawa jumlah kekalahan PAS di Saluran 1 amnya adalah kebih kecil berbanding angka kalah di Saluran 2 atau 3 dalam UPU yang sama. Contohnya di UPU Sungai Lias. Untuk Saluran 1 PAS seri dengan UMNO. Tetapi untuk Saluran 2 dan 3, PAS tewas 79 dan 86 undi. Mengapa jadi begitu?

Dr Hassan Ali YDP, atau Chegu Jaafar Setiausaha Perhubungan PAS Selangor mungkin boleh jawab soalan ini dengan tepat. Tetapi kalau mereka tidak menjawab sekalipun, kita boleh agak jawapannya – jentera di peringkat Pemuda PAS tidak begitu berkesan berbanding Pemuda UMNO. Kalau inilah jawapannya, tentunya sesuatu boleh dilakukan untuk membetulkan keadaan. Lebih-lebih lagi kini kedudukan Khir Toyo dalam Pemuda UMNO dikhabarkan telah goyah.

Perhatikan juga bahawa sama seperti di tempat lain, Undi Pos di DUN Sabak adalah tidak seperti mitos yang katakan Undi Pos 100% sokong UMNO. Anggota dan pegawai polis dalam DUN Sabak sebenarnya punyai pilihan bebas ketika mengundi. Dan mereka telah tunjukan bahawa mereka telah bertindak dengan wajar. Cuma aktivis pembangkang sahaja yang sentiasa bersangka buruk tehadap mereka. Lantaran mereka tidak di dekati semasa berkempen.

Berbaik sangkalah dengan anggota polis atau penjawat awam lain. Bukan saja di Sabak, tetapi juga di setiap UPU, DUN dan kawasan Parlimen. Janganlah tunggu bila hendak selesaikan saman trafik baru nak bermanis muka dan nak belanjakan secawan kopi. Jadikan mendampingi anggota polis itu satu tabiat!

Poin terakhir yang saya ingin bangkitkan ialah PAS sebenarnya mempunyai sokongan di kalangan bukan Melayu/Islam. Cuma aktivis PAS yang tidak perasan perkara ini. Atau mungkin kerana telah ditindeh batu prasangka maka kita tidak mendekati mereka.

Lihat keputusan untuk UPU Torkington yang mana pengundinya adalah hampir 95% berbangsa India. Dah tu cuba jawab soalan macam mana boleh terjadi 20 orang India yang mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Bernam, telah memberi undi pada PAS?

Apa juga jawapan anda, iktibarnya mudah -- masanya sudah sampai untuk kita mengorak langkah dan mengubah pendekatan berkempen!

Sememangnya UPU menawarkan aktivis pembangkang madu dan racun. Dan itulah cabaran bermain politik. Tetapi selagi kita aktivis politik dok bercakap secara generalities, bercerita secara am, bersastera tentang idealisma, bermadah tentang teori dari jauh, dan tidak mempunyai program berterusan turun ke UPU, selagi itu anda dan PAS akan berada di takok lama.

Bawa cerita Altantuya ini ke akar umbi. Bergosiplah dengan makcik dan pakcik di kampung. Dan yakinlah bahawa pengundi berumur 50 tahun ke atas adalah terlalu bersedia untuk taubat dari memangkah UMNO!


*Nota: Sila hubungi pejabat SPR terdekat untuk maklumat tepat bagaimana saluran ditentukan.

Friday, December 15, 2006

Buat Julung Kalinya: Syabas Rafidah Aziz!

Saya bukanlah fan, peminat Rafidah Aziz. Bahkan saya anti-Rafidah dan segala pembesar Melayu yang sekandang dengannya. Tetapi, buat julung kalinya saya kena tabik dia, kerana “keberanian” bersuara yang baru beliau temui.

Ulasan Rafidah, atau dari personaliti sekaum dengannya memang saya sudah nantikan. Tetapi saya agak “terkezut” bila untuk kali pertama dalam satu tempuh yang sudah terlalu lama, saya dapati Rafidah bercakap menggunakan intelek, guna akal. Berasaskan ilmu.

Sebenarnya, apa yang Rafidah komen tentang cadangan mencantum NSTP-Utusan itu hanyalah sekelumit dari banyak faktor yang telah disahkan secara ilmiah akan menggagalkan sesuatu merger & acquisition (M&A).

Faktor pertembungan dua budaya kerja dan imej diri adalah sesuatu yang tidak mungkin akan dapat di-serasi-kan bila NSTP-Utusan digabungkan kelak.

Sepatutnya penggabungan ini tidak menjadi isu. Tetapi kerana seperti biasa Abdullah Ahmad (Badawi) itu adalah terlalu hipokrit, dan menantunya telah tercium peluang buat duit, maka ianya menjadi isu. Hipokrit dan tamak pemimpin. Membuat UMNO memberontak lawan taukeh. Nasiblah kan?

Berterus terang sahajalah – NSTP sudah nak bangkrap sejak diambil alih pengurusannya dek Kalimullah. Cakap sajalah, NSTP perlukan bailout untuk menyambung hayat. Mengapa perlu bullshit dengan 1,001 daleh yang tak masuk akal?

Usahlah nak diulang helah lama penutupan Bank Bumiputra di mana Renong yang sepatutnya digulung tikar kerana hutang tak terbayar kepada Bank Bumiputra, tetapi akhirnya Bank Bumiputra telah ditelan oleh anak syarikat Renong. Langsung kini jadilah Bumiputra Commerce.

Cakap sajalah bahawa Utusan, dengan segala Melayu yang tak tahu cakap Orang Putih itu adalah diharapkan untuk memulihkan NSTP yang serba sophistikated. Habis cerita. Bingai punya Dollah Nasrul Haq Ajaran Sesat.

Talkin Untuk UMNO: Faktor Calun – Boleh Memunah Boleh Menggemilangkan

Saya kira telah terlalu acap kali tuan/puan terdengar ungkapan – Oh … kawasan/negeri itu, UMNO/PAS kuat … letak kopiah/songkok/katak puru/kelapa komeng sebagai calun, pun orang undi.

Itulah tanggapan lazim. Khususnya tanggapan tentang sokongan pengundi Kelantan terhadap PAS. Atau sokongan pengundi Johor terhadap UMNO. Dan bukan sahaja kita marhain politik yang beranggapan begitu, malah ramai penganalisis dan pengamal politik berpendapat demikian.

Khususnya kalau di Kelantan kini, di kalangan politikus dari “order lama” PAS Kelantan, atau kumpulan yang dengan mesranya di panggil “Tiga Abdul,” faktor calun adalah perkara enteng. Lantaran, mengikut cakap-cakap di pasar, pada pendapat “Abdul Tengah” sumbangan faktor calun adalah tidak sampai 2% dalam menentukan kalah menang parti di sesuatu kerusi.

Betulkah begitu? Untuk memahami konsep faktor calun sebagai penentu kalah menang parti, di bawah diperturunkan keputusan PRU 11 untuk 21 kerusi DUN Kelantan, di mana PAS dan UMNO kalah/menang tipis, “DUN Marjinal” – yakni PAS/UMNO menang/kalah kurang dari 1,000 undi.

Sejurus keputusan PRU 2004 untuk Kelantan diumumkan, lebih-lebih lagilah setelah PAS kalah di PRK Pengkalan Pasir, macam-macamlah telahan, nasihat, unjuran, pendapat, dan firasat tentang bagaimana terhakisnya pengaruh PAS di Kelantan. Langsung ada yang mempertikaikan dayamaju PAS sebagai parti politik masadepan. Dan rata-ratanya orang membahaskan relevans ideologi dan kepimpinan PAS, malah menyoal samada Islam itu masih relevan sebagai asas perjuangan.

Seperti biasa, saya tetap dengan pendapat “songsang” saya tentang politik. Bagi saya, kalau di Kelantan, hatta di Johor Bahru, faktor calun adalah segala-galanya. Faktor kalah mati.

Pada jadual di atas, perhatikan aliran majoriti undi yang PAS perolehi di setiap DUN bermula tahun 1995. Sebagai contoh, sebelum 2004 PAS tidak pernah kalah di DUN Manek Urai, Selising atau Ayer Lanas. Mengapa dalam tahun 2004 PAS boleh kalah?

Perhatikan pula keputusan DUN Pulai Chondong dan Gaal. Jika sebelum 2004 PAS boleh mendapat majoriti lebih dari 1,000 undi, tidakkah pembaca terlintas untuk bertanya – mengapa kini majoriti kemenangan tidak sampai 200 undi? Ke mana larinya penyokong? Begitu kuatkah UMNO kini di Kelantan?

Tolak tepi keputusan PRU 1999, kerana itu boleh dikatakan satu keputusan tidak normal kerana banyak dari undi majoriti PAS itu sebenarnya ialah penzahiran protes orang UMNO terhadap kepimpinan mereka. Guna keputusan PRU 1995 sebagai tanda aras.

Amati perbezaan undi majoriti yang PAS perolehi antara 1995 dengan 2004. Untuk semua kerusi dalam jadual di atas, penurunan drastik undi majoriti PAS adalah kerana faktor calun – TG Nik Aziz telah diperdayakan, PAS silap letak calun.

Saya tidak berniat untuk memburukkan nama atau membuka aib seseorang, tetapi saya boleh rumuskan bahawa dalam hampir semua kes di atas (tolak calun DUN Kota Lama), faktor merosotnya sokongan terhadap PAS ialah kerana pengundi telah kenali prestasi, hati budi, personaliti, dan/atau kelemahan moral calun.

Pembaca dari Kelantan khususnya, atau yang mempunyai kenalan di Kelantan, sekali imbas akan boleh menghubungkaitkan perkara berikut dengan calun dan DUN:

Calun yang telah diberi peluang menjadi wakil rakyat, tetapi terlalu nyata di mata rakyat tidak tahu apa itu tugas seorang wakil rakyat. Mudah cakap – tak reti buat kerja!

Calun yang mengabaikan tanggung jawab sebagai wakil rakyat, menjadi bongkak, hatta boleh persoalkan – siapa lagi yang layak jika tidak aku untuk bertanding di situ – setelah di naikkan pangkat dalam barisan kerajaan negeri.

Calun yang terlalu sibuk di pentas negeri atau nasional, tetapi gagal berinteraksi di kampung sendiri, malah dilihat tidak peduli kebajikan DUN sendiri.

Calun yang mulut terlalu “cabul,” berbahasa kasar dengan pengundi, “mulut bruh” kata orang Kelantan, terlalu kerap menyinggung perasaan orang, langsung membuat ramai yang tidak selesa berinteraksi, apatah lagi memberi undi.

Calun yang diragui kesetiaan pada parti, disyaki oleh pengundi sebagai terlalu pentingkan diri, malah talibarut UMNO.

Calun yang rendah moral, diketahui umum sebagai “penggemar” yang biasa larikan isteri orang. (Ingat, PAS adalah parti manusia, bukan parti para wali atau malaikat).

Sekali lagi, rumusnya, sokongan terhadap PAS merosot dalam PRU 2004 kerana rekod calun. Pembaca adalah digalakkan mempertikaikan rumusan saya.

Kendati, di masa yang sama, izin saya ingatkan bahawa perhatikan juga siapa tokoh-tokoh PAS yang sedang mencaturkan diri untuk dicalunkan di PRU 12 kelak. Dah tu tanya diri sendiri – atas kudrat, kederat tubuh badan mereka, rekod mereka, bolehkan watak-watak ini menang kalau mereka dicalunkan!

Thursday, December 14, 2006

Talkin Untuk UMNO: Puaka UMNO Tidak Menyeluruh

Cameron Highland? Tidak! Gambar di atas ialah satu permandang di daerah Lojing dalam Jajahan/Parlimen Gua Musang, Kelantan. Eh? Kelantan ada ladang teh? Sungguh tak sangka ya! Ingatkan Kelantan itu hanya budu dan batik sahaja.

Haaa … tu lah, yang disuruh sangat supaya biasakan diri dengan peta kawasan pilihan raya. Yang ditekan sangat supaya mahirkan diri dengan konsep Unit Peti Undi (UPU). Hanya dengan mengambil perspektif UPU barulah banyak misteri kekuasaan atau kelemahan UMNO itu terbongkar.

Bila setiap UPU sudah ada cawangan, banyak kerja gerak politik jadi mudah. (PAS Selangor, Pahang dan Perak, bila nak mula gerakan tambah ahli dan daftar cawangan? Jangan kemaruk berceramah sahaja!) Dengan adanya rangkaian cawangan yang menyeluruh, barulah parti-parti pembangkang boleh mula bergerak secara strategik. Boleh bergerak dengan berkesan.

Hanya bila ada cawangan – organisasi tersusun – di peringkat UPU, barulah senang untuk dianggarkan di mana UMNO itu kuat atau lemah. Di mana pembangkang ada peluang atau kekuatan. Baru dapat kenalpasti siapa watak berpengaruh setempat. Atau tahu dengan jelas mana ketua UMNO setempat yang telah tersisih, atau merajuk, dan sudah lama bersedia untuk berpaling tadah.

Barulah mudah nak susun segala program ceramah kelompok. Barulah boleh bertazkirah, ber-usrah atau laksanakan apa juga program parti dengan berkesan.

Selagi itu kita barisan pejuang mengembalikan demokrasi yang ideal tidak dapat mengenalpasti di kawasan mana kita ada peluang, di mana kita kuat, terancam dan lemah, selagi itu lah kita laksana orang buta bertinju. Tumbuk dan hayun ikut sedap hati, ikut teragak dan terlintas, asalkan ada aksi.

Tetapi tenaga kita terbuang tanpa hasil. Dah tu, bila kita kalah, dalam kita frust (kecewa) kita hamun dan kutuk SPR. Where got road, man? Sikap ini mesti dikikis segera.

Saya tidak bercadang untuk bercerita lebih lanjut tentang SWOT Analysis (Analisis Kekuatan, Kelemahan, Peluang, Ancaman), kerana saya pasti ramai aktivis parti yang lulus Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA). Aplikasi dan adaptasikan sahaja model-model yang dipelajari dalam kuliah pengurusan strategik dulu, dan tuan/puan pasti akan bertemu rumusan strategi yang sesuai untuk kawasan yang diidamkan.

Berbalik kepada cerita UMNO ada lemahnya, dan pembangkang ada kuatnya, sila amati jadual di atas, iaitu sebahagian dari analisis DUN Bangi, Selangor.

DUN Bangi mempunyai 11 UPU termasuk satu UPU Undi Pos. PAS kalah di DUN ini semasa PRU 2004 dulu. Tetapi amati bahawa PAS tidak kalah secara mutlak!

Untuk tiga UPU iaitu Seksyen 1 & 2 BBB, Seksyen 2, 3 & 5 BBB dan Seksyen 8 BBB, PAS sebenarnya menang besar. Malah menang dalam peratusan yang menyamai kadar kemenangan TG Nik Aziz di DUN Chempaka, Kelantan!

Tetapi PAS kalah teruk di UPU lain seperti UPU Bangi (Lama). Mengapa jadi begitu?

Bagi saya pemerhati dari luar Selangor, jawapan pertama yang terlintas ialah PAS tiada cawangan dalam UPU Bangi (Lama). Dan kalau memang sudah ada cawangan sekalipun, keadaan sedemikian membayangkan salah satu atau kesemua dari empat perkara berikut:

  • Aktivis PAS hanya tumpu dan berebut berceramah di tiga UPU dan langsung mengabaikan UPU lain dalam DUN Bangi.
  • Mutu kepimpinan dan organisasi di peringkat UPU adalah terlalu lemah, jika tidak pun lumpuh.
  • Aktivis peringkat UPU/cawangan sudah “dibeli” UMNO.
  • Kepimpinan dan susunan cawangan-cawangan UMNO di UPU ini adalah terlalu "kuat" berbanding PAS.

Apa juga puncanya terjadi demikian, hanya bila dilakukan analisis di peringkat UPU, barulah tindakan pembetulan yang sesuai dapat dilakukan. Tanpa analisis berfakta, berpandukan statistiks -- bukan fantasi musabab atau penulisan bersastera para *sarjana* parti -- sampai bila-bila pun PAS akan sangkut di takuk maki dan kutuk SPR. (Dan dalam proses, menempah dosa “kering”).

Sehubungan ini khabarnya di Kelantan, Pusat Kajian Strategik (PKS) , sebuah unit penyelidikan di bawah Menteri Besar telah pun melakukan satu SWOT Analysis yang menyeluruh lagi mendalam tentang tahap sokongan dan keupayaan jentera peringkat UPU. Dan hasilnya adalah seperti diringkaskan di bawah.

Kerana orang Kelantan terlalu gemarkan emas sebagai kaedah menabung, maka PKS telah menggunakan kata kod berkaitan emas yang sekaligus membayangkan mutu sesuatu UPU. Hasil kajian PKS membayangkan bahawa terdapat 100 UPU di seluruh Kelantan yang berada dalam gred “Suasa” (logam campuran emas dan perak). Peti-peti undi ini boleh lah sifatkan sebagai UPU “atas pagar.”

Kalau setakat mengamati percaturan politik Kelantan berpandukan berita dalam Harakah, ciri ceramah di PUTIK, atau berita-berita lain tentang usaha UMNO di Kelantan, seorang pemerhati politik akan nampak seolah-olah PAS Kelantan kini adalah terlalu lengah dan selesa dalam menentang UMNO. Tetapi sebenarnya tidak begitu.

Khabarnya, bertolak dari penemuan di atas, jentera gerak saraf PAS Kelantan telah mula menggempur dalam senyap 100 UPU “atas pagar” sejak awal tahun lagi. Jika kesemua UPU ini dapat di turnover, di terbalikkan menjadi “Emas Paun” (emas 18 karat) atau “Emas 10” (emas 24 karat), maka insyaallah, PRU 12 kelak, PAS akan sapu bersih Kelantan.