Tuesday, December 05, 2006

Kubu Melayu (Islam) Terakhir: Hukum Alam, Kelantan, German & Sungai Nil

Kelantan bagi ramai warga Malaysia adalah satu curiosity. Keanehan yang membangkit rasa ingin tahu. Terlalu banyak teori telah diperkatakan dan label dilekatkan kepada Kelantan dan warga kelahirannya. Juga banyak ciri telah disohorkan.

Kecantikan perempuan Kelantan. (Lupakan Pasir Mas! Intailah di Jeli, atau daerah Paloh di Gua Musang dan saksikan sendiri keindahan ciptaan Tuhan). Pemikiran politik rakyat Kelantan. Sifat samseng orang Kelantan. Perangai kenegerian orang Kelantan. Pegangan ugama umat Kelantan. Keusahawanan orang Kelantan. Kemeriahan Hari Raya Haji (Korban) di Kelantan. Fikirkanlah satu ciri sosio-budaya Melayu, hatta ekonomi, dan Kelantan adalah piawainya.

Melihat Kelantan dari perspektif dunia, kacamata global, Kelantan adalah satu fenomena yang unggul, berada dalam kelas yang sama dengan tamaddun ajaib dunia – Mesir dengan Sungai Nil, dan German dengan Sungai Rhine.

Seperti dengan Sungai Nil dan Sungai Rhine, Sungai Kelantan adalah berlawanan dengan “hukum alam” tentang sungai. Sungai Kelantan, bermula dari selatan, mengalir ke muara di utara. Begitu juga Nil dan Rhine, sungai-sungai yang telah melahirkan tamaddun dunia yang mengkagumkan di Mesir dan Eropah.

Sungai-sungai utama dunia lazimnya mengalir dari utara ke selatan, yakni dari atas ke bawah. Atau dari timur ke barat; barat ke timur. Sungai Mekong (Vietnam), Irrawaddy (Myanmar), Ganges (India), Mississippi (Amerika Syarikat), Euphrates (Iraq) dan Chao Phraya (Thailand) semuanya mengalir dari atas ke bawah. Dari utara ke selatan.

Sungai Amazon (Amerika Selatan), Yangtze (China) dan Danube (Eropah) mengalir dari barat ke timur. Dari kanan ke kiri.

Hanya Kelantan, Nil dan Rhine mengalir dari bawah ke atas.

Sifat sungai yang “melawan” hukum alam itu sendiri sudah boleh membayangkan satu keunikan, satu kesendirian yang sukar ditandingi. Seperti dengan sungai yang membolehkan kehidupan manusia yang bergantung kepadanya, begitulah kehebatan manusia yang minum darinya.

Maka itu, apalah yang nak dihairankan jika Kelantan itu bagi UMNO adalah satu neraka politik.


Nota: Permandangan Sungai Kelantan ialah dari raykinzoku.fotopage.com.

No comments: