Friday, December 01, 2006

Mengundang Bala Ekonomi? Nota 2 – Mengapa Perlu Penggabungan?

Cadangan mencatumkan Sime Darby Bhd, Golden Hope Plantations Bhd, dan Kumpulan Guthrie Bhd, tidak kiralah siapa jurucakap, juru-umum dan jurulakun, rakyat yakin bahawa menantu Abdullah A. Badawi adalah dibelakang cadangan penggabungan ini. Langsung membuat rakyat bertanya:

  • Mengapalah bingai benar, yang kamu hendak letakkan semua “telur” emas hak negara dalam satu bakul?

Apa rahsia sebenar disebalik usaha penggabungan ini? Sekadar mahukan yuran broker?

Memudahkan kerja Temasek Holdings mengambilalih aset Tanah Melayu? Temasek tidak perlu lalui kerenah birokrasi mengambilalih lapan lapan syarikit gergasi Malaysia, sebaliknya hanya perlu bersiul menjentik Synergy Drive?

Bila sampai kepada hal-hal begini terserlah saripati Tun Dr Mahathir yang melimpah ruah berbanding Abdullah A. Badawi.

Beza Dr Mahathir dengan Abdullah A. Badawi adalah mudah. Kedua-dua mahukan projek mega. Cuma Dr Mahathir berani mengaku dan mempamerkan bangga. Sebaliknya, dalam Abdullah A. Badawi bertindak lebih “mega” tetapi dia malu untuk mengaku.

Bertolak dari situ, masalah Abdullah A. Badawi ialah masalah imej. Imej yang dia sendiri cipta. Imej yang mencerminkan hati perut. Imej yang menyebabkan segala tindakan, cadangan dan ucapannya diragui rakyat. Yang rakyat lihat dan ditafsir dengan sinis.

Imej yang menyebabkan jawatan beliau kini adalah laksana itek tempang. A crippled premiership. Dan dia merungut malah merengek akan kesan perbuatannya sendiri.

Rakyat pun faham bahawa Mahathir itu bukan wali. Buka seorang sufi. Dia pun pulun. (Apa yang dihairankan, lagikan amil kutip duit fitrah, pun disyariatkan bahagian). Tetapi Dr Mahathir bila berbuat demikian tidak nampak tamak dan mementingkan keluarga.

Projek-projek mega Mahathir menelan belanja berbilion ringgit, jumlah yang sebenarnya tidak tertampung oleh institusi kewangan dalam negeri. Tetapi perbuatan pengurus-pengurus projek Mahathir meminjam dana asing dalam membiayai projek tidak dilihat sebagai menjual negara.

Namun kasihan, segala apa cadangan Abdullah A. Badawi dilihat sebagai tidak waras, malah menjual kedaulatan negara. Inilah beza Mahathir dengan Abdullah.

Mahathir memulakan langkah pengindustrian Malaysia dengan menubuhkan Proton, Renong, L&G, MRCB, TRI dan segala macam syarikat kroni. Tetapi rakyat melihat Renung dan syarikat-syarikat yang seangkatan dengannya sebagai “syarikat UMNO.” Rakyat, hatta bijak pandai dalam parti pembangkang tidak melihat entiti-entiti korporat tersebut sebagai mementingkan diri Mahathir. Lantas sikap rakyat – lantak dia lah.

Sebaliknya, apa juga inisiatif Abdullah A. Badawi dilihat sebagai; pertama kepentingan menantu, kedua (mungkin) manfaat untuk rakyat.

Di mana silap Abdullah A. Badawi? “Keterbukaan” yang kononnya diamalkan bukanlah punca, dan jawapannya mudah: Abdullah A. Badawi menjadikan menantunya sebagai proksi melaksana dasar. Masalahnya Abdullah meletakkan ahli keluarga sebagai pendepan.

Abdullah tidak dapat menjarakkan kepentingan kelurga dari kepentingan parti atau negara.

Di sinilah silap Abdullah A. Badawi. Menantunya telah memulakan kerjajaya politiknya sebagai seorang jurujual. Agen ekslusif untuk Temasek. Yang menampakan seboleh-bolehnya segala usaha ialah untuk menguntungkan Singapura Dengan skandal penjualan saham Pantai, skandal ECM Libra, percubaan menjual Johor, dan terbaru rancangan penggabungan syarikat-syarikat gergasi perladangan negara.

Itu semua penjualan yang kita rakyat tahu dan perasan. Yang kita tidak tahu dan tidak perasan? Tuhan Lagi Arif.


Nota: Komentar tentang cadangan percantuman ini adalah sambungan dalam siri komentar bertajuk “Mengundang Bala Ekonomi?”

(a) Mengundang Bala Ekonomi? Nota 1 -- Kesan Kesyaitanan Monopoli

No comments: