Malah cuaca sebenar dalam tempuh tiga hari lepas adalah tidak sampai 10% dari apa yang diramalkan berpandu data satelit. Maka peristiwa ini menjadi satu pengajaran moral bagi saya – teknologi dan ilmu modern dan canggih tidak semestinya betul dan tepat. Sememangnya tiada apa yang dapat menduga Ilmu Allah. Menambahkan lagi keyakinan saya akan pesanan Rasulullah, bahawa doa itu mampu merubah “takdir.”
Sebenarnya, sebelum saya membuat posting ramalan banjir Jumaat (Disember, 23) lepas, saya telah pun pusing keliling kawasan Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Buat kerja bodoh (resmi saya lah tu), tinjau samada pokok kapal terbang yang banyak di situ berbunga atau tidak. Dan memang banyak pun yang sudah mengeluarkan bunga! Cuma pokok derdap saja yang saya tidak berjumpa.
Pokok kapal terbang dan pokok derdap adalah dua “satelit cuaca” orang tua-tua Kelantan. Zaman tiada akses kepada internet dan data satelit cuaca dulu, berbunga atau tidak kedua-dua pokok ini adalah pertanda banjir.
Kalau pokok-pokok ini berbunga, maka kemungkinan besar, banjir tidak akan berlaku, waima keadaan hujan dan angin menyelubungi. Sebaliknya, cuaca panas terik sekalipun, kalau pokok-pokok ini tidak berbunga di bulan November dan Disember, maka kemungkinan besarnya, banjir akan berlaku,
Itu pedoman orang tua-tua. Yang mana selama ini, kebetulannya tepat. Malah saya ada seorang kawan yang telah belanja sakan tahun lepas kerana menang bertaruh samada jadi banjir atau tidak. (Maaf ya, saya tidak suka bertaruh -- haram hukumnya. Namun, orang memberi kita merasa. Fakta diketahui hanya selepas kenyang).
Selain dari menjadi satelit ramalan banjir, pokok kapal terbang juga kerap digunakan oleh orang tua-tua dulu sebagai ubat luka dan gatal. Sehingga titik ini, saya kira pembaca mungkin telah mendapat gambaran bahawa saya sedang mempromosi sains dan seni “bomohologi” dan “dukunologi.”
Ya, saya akui saya memang gemar dan minat akan petua dan pedoman Melayu lama. Tetapi hingga ke satu tahap saja. Bab petua ubat-ubatan dari herba dan pokok tempatan saya tidak berapa setuju. Sebabnya mudah, kerana saya dapati, tidak seperti sains Ayurvedic, preskripsi ubatan Melayu jarang memberitahu secara tepat bahagian pokok yang mustajab, dos, dan cara penyediaan ubat. Bab ini, tuan/puan kajilah sendiri.
Kembali kepada tajuk, sekali lagi saya bersyukur kehadrat Ilahi kerana Kelantan tidak banjir tahun ini.
No comments:
Post a Comment