Sunday, December 03, 2006

Kita Semua Cari Makan … Dan Semuanya Adalah Pilihan


Saya akui, saya pun kadang-kadang bertanyakan takdir – mengapa aku jadi begini dan begitu. Mengapa tidak begini atau begitu. Kerapnya dalam hal-hal cari makan. Memang, cari makan itu susah.

Tidak kiralah kerja apa, bila bab cari makan, kita semua akan bertemu musim atau saat susah dan payah. Kot ya sekalipun dilahirkan bangsawan atau hartawan. Hatta setelah mengadai segala cebis maruah yang ada pada diri. Tetap akan bertemu susah dan payah.

Namun disetiap langkah dalam kita mencari makan, meraih rezeki, kita semua punyai pilihan. Kita boleh pilih pekerjaan kita. Kita boleh pilih untuk kekal dengan sesuatu pekerjaan. Dan setentunya kita punyai pilihan untuk berhijrah.

Hanya tembok pada akal dan keyakinan diri kita – darjah kepercayaan kita akan kemurahan Allah -- yang menghalang kita dari membayangkan alternatif. Dan seterusnya mengorak langkah.

Begitu juga cara kita cari makan. Kita sememangnya dan sentiasanya mempunyai pilihan menentukan cara melaksana kerja kita. Samada dengan cara yang bermaruah atau cara yang kita bakal kesali di suatu ketika kelak.

Bagi saya, nilai diri adalah kerangka pertimbangan paling penting dalam menjustifikasikan apa yang saya buat dalam mencari makan. Dan akidah adalah rumah lampu (light house) yang memandu saya dalam kegelapan dan gelora samudera yang kita panggil – cari makan.

Nota: Gambar-gambar sekitar Kota Bharu Bandaraya Islam di atas adalah dari laman photoblog Kelantan Fotopage oleh “raykinzuko.” Photoblog ini adalah mengkagumkan dari segi nilai seni dan kepekaan pemilik blog tentang apa itu yang dikatakan “budaya Kelantan.” Ralatnya saya terpaksa memindahkan gambar-gambar di atas ke satu laman storan foto yang lain kerana lalulintas internet ke laman tersebut adalah terlalu sibuk, langsung merangkak bak penyu bunting. Kata orang Indon – macet.

No comments: