Thursday, December 14, 2006

Talkin Untuk UMNO: Puaka UMNO Tidak Menyeluruh

Cameron Highland? Tidak! Gambar di atas ialah satu permandang di daerah Lojing dalam Jajahan/Parlimen Gua Musang, Kelantan. Eh? Kelantan ada ladang teh? Sungguh tak sangka ya! Ingatkan Kelantan itu hanya budu dan batik sahaja.

Haaa … tu lah, yang disuruh sangat supaya biasakan diri dengan peta kawasan pilihan raya. Yang ditekan sangat supaya mahirkan diri dengan konsep Unit Peti Undi (UPU). Hanya dengan mengambil perspektif UPU barulah banyak misteri kekuasaan atau kelemahan UMNO itu terbongkar.

Bila setiap UPU sudah ada cawangan, banyak kerja gerak politik jadi mudah. (PAS Selangor, Pahang dan Perak, bila nak mula gerakan tambah ahli dan daftar cawangan? Jangan kemaruk berceramah sahaja!) Dengan adanya rangkaian cawangan yang menyeluruh, barulah parti-parti pembangkang boleh mula bergerak secara strategik. Boleh bergerak dengan berkesan.

Hanya bila ada cawangan – organisasi tersusun – di peringkat UPU, barulah senang untuk dianggarkan di mana UMNO itu kuat atau lemah. Di mana pembangkang ada peluang atau kekuatan. Baru dapat kenalpasti siapa watak berpengaruh setempat. Atau tahu dengan jelas mana ketua UMNO setempat yang telah tersisih, atau merajuk, dan sudah lama bersedia untuk berpaling tadah.

Barulah mudah nak susun segala program ceramah kelompok. Barulah boleh bertazkirah, ber-usrah atau laksanakan apa juga program parti dengan berkesan.

Selagi itu kita barisan pejuang mengembalikan demokrasi yang ideal tidak dapat mengenalpasti di kawasan mana kita ada peluang, di mana kita kuat, terancam dan lemah, selagi itu lah kita laksana orang buta bertinju. Tumbuk dan hayun ikut sedap hati, ikut teragak dan terlintas, asalkan ada aksi.

Tetapi tenaga kita terbuang tanpa hasil. Dah tu, bila kita kalah, dalam kita frust (kecewa) kita hamun dan kutuk SPR. Where got road, man? Sikap ini mesti dikikis segera.

Saya tidak bercadang untuk bercerita lebih lanjut tentang SWOT Analysis (Analisis Kekuatan, Kelemahan, Peluang, Ancaman), kerana saya pasti ramai aktivis parti yang lulus Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA). Aplikasi dan adaptasikan sahaja model-model yang dipelajari dalam kuliah pengurusan strategik dulu, dan tuan/puan pasti akan bertemu rumusan strategi yang sesuai untuk kawasan yang diidamkan.

Berbalik kepada cerita UMNO ada lemahnya, dan pembangkang ada kuatnya, sila amati jadual di atas, iaitu sebahagian dari analisis DUN Bangi, Selangor.

DUN Bangi mempunyai 11 UPU termasuk satu UPU Undi Pos. PAS kalah di DUN ini semasa PRU 2004 dulu. Tetapi amati bahawa PAS tidak kalah secara mutlak!

Untuk tiga UPU iaitu Seksyen 1 & 2 BBB, Seksyen 2, 3 & 5 BBB dan Seksyen 8 BBB, PAS sebenarnya menang besar. Malah menang dalam peratusan yang menyamai kadar kemenangan TG Nik Aziz di DUN Chempaka, Kelantan!

Tetapi PAS kalah teruk di UPU lain seperti UPU Bangi (Lama). Mengapa jadi begitu?

Bagi saya pemerhati dari luar Selangor, jawapan pertama yang terlintas ialah PAS tiada cawangan dalam UPU Bangi (Lama). Dan kalau memang sudah ada cawangan sekalipun, keadaan sedemikian membayangkan salah satu atau kesemua dari empat perkara berikut:

  • Aktivis PAS hanya tumpu dan berebut berceramah di tiga UPU dan langsung mengabaikan UPU lain dalam DUN Bangi.
  • Mutu kepimpinan dan organisasi di peringkat UPU adalah terlalu lemah, jika tidak pun lumpuh.
  • Aktivis peringkat UPU/cawangan sudah “dibeli” UMNO.
  • Kepimpinan dan susunan cawangan-cawangan UMNO di UPU ini adalah terlalu "kuat" berbanding PAS.

Apa juga puncanya terjadi demikian, hanya bila dilakukan analisis di peringkat UPU, barulah tindakan pembetulan yang sesuai dapat dilakukan. Tanpa analisis berfakta, berpandukan statistiks -- bukan fantasi musabab atau penulisan bersastera para *sarjana* parti -- sampai bila-bila pun PAS akan sangkut di takuk maki dan kutuk SPR. (Dan dalam proses, menempah dosa “kering”).

Sehubungan ini khabarnya di Kelantan, Pusat Kajian Strategik (PKS) , sebuah unit penyelidikan di bawah Menteri Besar telah pun melakukan satu SWOT Analysis yang menyeluruh lagi mendalam tentang tahap sokongan dan keupayaan jentera peringkat UPU. Dan hasilnya adalah seperti diringkaskan di bawah.

Kerana orang Kelantan terlalu gemarkan emas sebagai kaedah menabung, maka PKS telah menggunakan kata kod berkaitan emas yang sekaligus membayangkan mutu sesuatu UPU. Hasil kajian PKS membayangkan bahawa terdapat 100 UPU di seluruh Kelantan yang berada dalam gred “Suasa” (logam campuran emas dan perak). Peti-peti undi ini boleh lah sifatkan sebagai UPU “atas pagar.”

Kalau setakat mengamati percaturan politik Kelantan berpandukan berita dalam Harakah, ciri ceramah di PUTIK, atau berita-berita lain tentang usaha UMNO di Kelantan, seorang pemerhati politik akan nampak seolah-olah PAS Kelantan kini adalah terlalu lengah dan selesa dalam menentang UMNO. Tetapi sebenarnya tidak begitu.

Khabarnya, bertolak dari penemuan di atas, jentera gerak saraf PAS Kelantan telah mula menggempur dalam senyap 100 UPU “atas pagar” sejak awal tahun lagi. Jika kesemua UPU ini dapat di turnover, di terbalikkan menjadi “Emas Paun” (emas 18 karat) atau “Emas 10” (emas 24 karat), maka insyaallah, PRU 12 kelak, PAS akan sapu bersih Kelantan.

2 comments:

Anonymous said...

Agak2 pakcik rudin, UPU kubang chenak berstatus emas 10 tak? heh heh

Anonymous said...

UPU Kubang Chenok dalam DUN Gual Periok kalah untuk kali pertama dalam tahun 2004. Kekalahan di situ ialah 249 undi. Untuk segala tujuan politik, UPU itu adalah kelas "PERAK". Selaraskan balik saf kepimpinan di cawangan yang ada di situ, insyaallah, tidak terlalu sukar untuk bertukar menjadi "SUASA" atau "EMAS PAUN".

Salam.

Rudin X