Saturday, December 02, 2006

Mengundang Bala Ekonomi? Alif-Ba-Ta Permainan Percantuman & Pengambilalihan

Curang. Begitulah gosip peringkat dewa-dewa (atasan) korporat Malaysia bila mendeskripsikan cadangan percantuman Sime Darby, Golden Hope, dan Kumpulan Guthrie. Sehubungan ini, isu besar yang takut diperkatakan oleh orang-orang korporat, Melayu khususnya, ialah mengapa perkara yang melibatkan amanah rakyat, public trust, tidak dibincangkan dalam Parlimen.

Lantas mencetuskan spekulasi bahawa percantuman ini adalah semata-mata menguntungkan kem-kem Abdullah A. Badawi dan timbalannya. Permainan sebenarnya ialah asset stripping – membogelkan aset -- khususnya aset-aset Sime Darby. Siapa, kem mana bakal dapat subsidiari minyak dan gas? Siapa yang bakal menerima durian runtuh bila di”faraid”kan subsidiari motor dan kereta? Dan seterunya subsidiari lain-lain Sime Darby.

Persoalan juga timbul – apa akan jadi dengan rancangan Koridor Utara yang sepatutnya diterajui oleh Sime Darby bila percantuman ini dilaksanakan? Mampukah lagi Sime Darby yang di”bogel”kan meneruskan amanahnya?

Oleh kerana nawaitu Abdullah A. Badawi telah dihidu masyarakat korporat baik di dalam atau luar negara, maka adalah dinujumkan bahawa puak pelabur minoriti dalam syarikat terlibat akan memberontak dan menghalang rancangan ini dari terlaksana. Jika perkara ini berlaku Abdullah A. Badawi akan kecundang.

Dari butiran yang menitis keluar, cadangan sebenarnya melibatkan lapan syarikat gergasi yang mana umur setiap satu adalah lagi tua dari menantu Perdana Menteri. Pengalaman dan daya survival syarikat-syarikat tersebut bukanlah persoalan besar. Tahulah mereka bagaimana menjaga diri masing-masing.

Tetapi persoalan yang lebih menarik tentang cadangan penggabungan ini ialah – bagaimana si-pencadang akan membiayai perlaksanaannya?

Di Malaysia wujud satu undang-undang yang dipanggil Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 -- Kod Pengambilalihan dan Percantuman. Mengikut kod ini, pihak yang mencadangkan pengambilalihan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia mestilah membuat tawaran pembelian berbentuk tunai kepada semua pemegang saham lain.

Contohnya. Sekarang PNB memegang 27% dari semua saham Sime Darby. Jika PNB bercadang mengambilalih sepenuhnya Sime Darby, yakni mahu kuasai 100%, maka satu tawaran umum mandatori (mandatory general offer) mestilah dibuat untuk membeli baki 73% saham yang ada ditangan pelabur lain.

Ya, saya percaya lah, mengikut sesetengah “cakap lucah” pasaran kewangan, Suruhanjaya Sekuriti yang diamanahkan untuk melaksanakan Kod Pengambilalihan dan Percantuman itu adalah lebih rendah maruahnya dari seorang polis trafik kerdil mencari duit lebih di lorong-lorong gelap. Tetapi itu isu lain.

Isu praktisnya ialah di mana Synergy Drive (yang nampaknya memperkosa PNB) syarikat yang mengepalai “putaran alam” ini akan mengambil duit untuk melunaskan tawaran umum yang disyaratkan oleh undang-undang?

Bayangkan. Tiga syarikat yang disebut-sebut mempunyai nilai pasaran dan pegangan PNB seperti berikut.

  • Sime Darby: Nilai Pasaran RM15.21 bilion. PNB kini pegang 26.92% ekuiti. Maknanya PNB/Synergy Drive mesti menyediakan wang sebanyak RM11.12 bilion lagi untuk mengawal 100%.

  • Golden Hope: Nilai Pasaran RM7.44 bilion. PNB kini pegang 45.46% ekuiti. Maknanya PNB/Synergy Drive mesti menyediakan wang sebanyak RM4.06 bilion lagi untuk mengawal 100%.

  • Kumpulan Guthrie: Nilai Pasaran RM4.13 bilion. PNB kini pegang 73.22% ekuiti. Maknanya PNB/Synergy Drive mesti menyediakan wang sebanyak RM1.11 bilion lagi untuk mengawal 100%.

Hanya untuk tiga syarikat, lima lagi syarikat belum lagi diambil kira, PNB/Synergy Drive mesti mempunyai dana sekurang-kurangnya RM16.29 bilion untuk menjayakan rancangan ini.

Persoalannya. Dimanakan PNB/Synergy Drive akan korek duit sebanyak itu? Adakah Khazanah dan KWSP akan diperas sekering-keringnya?

Sepatutnya sebelum kita sampai kepertanyaan itu, rakyat sudah mendapat jawapan kepada soalan cepumas -- mengapa hendak dibazirkan sumber negara mengejar khayalan semusim, sedangkan hutang projek-projek Rancangan Malaysia Ke 8 sebanyak RM24 bilion masih lagi tidak dilunaskan.

Dah tu dok bising tentang mempercepatkan projek-projek di bawah RMK-9. Nampak sangat ada sesuatu di kepala lutut.


Nota: Komentar ini adalah sambungan komentar tentang cadangan percantuman ini dalam siri penghujahan bertajuk “Mengundang Bala Ekonomi?”

(a) Mengundang Bala Ekonomi? Nota 1 -- Kesan Kesyaitanan Monopoli

(b) Mengundang Bala Ekonomi? Nota 2 – Mengapa Perlu Penggabungan?

No comments: