Namun sejak tahun 1959, UMNO tetap kekal memerintah Tanah Melayu yang kita cintai. Dan setiap kali kita jemaah wira idealisma bangsa dan agama kalah ditangan UMNO, setiap itulah ramai di kalangan kita yang melaungkan – UMNO menang cara tipu dengan bantuan SPR.
Diakui bahawa memang ada unsur kebenaran tentang “dakwaan piawai” itu, tetapi dari pengamatan saya, kesilapan sebenarnya, salah hakiki, khilaf yang tulin adalah di pihak kita pembangkang. Kita silap dari segi organisasi politik.
Bukan pembangkang tidak cukup isu, tidak cukup sumber untuk berdepan dengan UMNO. Bukan rakyat tidak simpati dan faham dengan apa yang diperjuangkan PAS atau Keadilan. Pembangkang sebenarnya sudah berlebihan perkara itu semua.
Tetapi hingga kini, parti-parti pembangkang, khususnya di luar Kelantan, masih terlalu lemah dari segi susunatur dan pengurusan gerak politik.
Maaf, saya bercakap brutal, cakap tidak berlapik, tetapi hakikatnya parti-parti pembangkang Melayu di luar Kelantan adalah tipis kefahaman mereka dari segi “alif-ba-ta” pengurusan dan organisasi.
Ya, memang pembangkang punyai ramai aktivis dan simpataizer yang bijak pandai. Ramai sarjana dan PhD bergiat underground, bergerak bawah tanah secara senyap di tengah masyarakat kalau tidakpun di kampus-kampus universiti.
Semuanya petah-petah bermadah dan berpidato. Ramai yang mahir pujukan halus. Tetapi sayang, segala kepakaran dan daya intelek yang ada tidak dapat diterjemahkan menjadi satu struktur organisasi perang politik yang mustajab.
Saya amati ramai “sarjana” dalam pembangkang yang boleh sebut dan bikin persembahan Powerpoint tentang strategi politik. Tetapi hingga hari ini saya masih belum terjumpa satu pakar politik Melayu (pembangkang atau UMNO), baik yang pakar secara teori, mahupun mereka yang mempraktiskan politik untuk sekian tahun, yang boleh bercakap tentang –unit strategik politik (political strategic unit).
Baiklah. Cukup dengan bebelan dan melalut.
Sebermula, untuk faham strategi perang politik, tuan/puan mesti ada dan faham dua perkara.
- Peta politik.
- Unit strategik politik.
Sebelum pembaca melenting tuduh saya telah menyalahi Akta Rahsia, izin saya jelaskan dan tekankan bahawa segala peta dan angka yang saya bincangkan di sini, dan selepas ini dalam komentar lain adalah maklumat awam. Maklumat yang boleh dibeli atau didapati gratis (percuma) dari SPR atau JUPEM.
Peta di atas adalah sekadar contoh untuk menjelaskan konsep unit strategik politik. Bila dikatakan sesuatu kawasan parlimen, katakan Parlimen Jeli, perhatikan bahawa secara geografis ia mempunyai unit politik berikut:
- Kawasan Parlimen.
- Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
- Kawasan Peti Undi/Daerah Mengundi.
- Saluran Mengundi dalam Peti Undi.
Kalau aktivis pembangkang tidak faham konsep asas ini, maka adalah lagi bijak berdiam sahaja, dan jangan buka mulut bekokok – kita mahu tawan Parlimen X. Kita mahu gempur DUN Z. Kita mahu rampas kembali negeri Y. Kita mahu kuasai separuh Dewan Undangan negeri sanun dan sinin.
Soalan: Nak tawan, nak gempur, nak rampas, nak ganyang – nak mula kat mana?
Nak tarbiyah kampung mana? Nak usrah pengundi kumpulan umur mana? Nak tazkirah siapa, dari qariah dan mukim mana? Mengapa pilih kampung, taman, desa itu dan ini?
Persoalan seperti di atas, dan banyak lagi soalan-soalan pengurusan dan tafsiran praktis undang-undang pilihan raya adalah antara poin-poin yang akan diulas dalam penulisan selanjutnya dalam siri ini.
Malah, persoalan pengurusan dan organisasi gerak politik lah di antara tiga sebab yang mendorong saya memulakan blog ini.
No comments:
Post a Comment