Tuesday, December 26, 2006

Blogger & Extra Judicial Terrorism

Prolog: Punca masalah Thaksin Shinawatra perdana menteri Thailand yang digulingkan melalui coup de tat tentera adalah kerana extra judicial killings, pembunuhan di luar batas undang-undang 1,600 orang yang disyaki pengedar dadah. Pusingan pertama siri letupan bom di Selatan Thailand dalam tahun 2004 dulu adalah dipercayai sebahagiannya berpunca dari balas dendam terhadap perbuatan Thaksin.

Lebih kurang, maksud “extra judicial” ialah tindakan kerajaan/pemimpin yang di luar kebenaran, atau tanpa kebenaran undang-undang. Lantaran jika dikatakan “extra judicial terrorism” maka ianya lebih kurang bermaksud – keganasan oleh kerajaan/pemimpin yang diluar kebenaran undang-undang negara.

Eh? Pembaca bertanya. Keganasan ada yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan undang-undang? Ya, sememangnya begitu.

Jika anda ditahan di bawah undang-undang ISA, maka itu “keganasan” terhadap anda yang dibenarkan undang-undang. Penahanan dibuat atas arahan kerajaan/pemimpin, manakala polis atau lebih popularnya, Cawangan Khas (SB) adalah jentera pelaksana. Maksudnya telah berlaku satu due process, atau pertimbangan dan proses undang-undang yang merumuskan bahawa anda (atau saya) layak ditahan di bawah ISA.

Soal samada due process itu sendiri adalah adil atau tidak, itu soal lain. Pokoknya due process telah dibuat. Yang mana due process sebelum penahanan/penghukuman adalah penzahiran dan pengesahan bahawa kerajaan/pemimpin menghormati hak asasi anda dan saya sebagai seorang manusia.

Bagaimana pula dengan extra judicial terrorism? Keganasan yang dilakukan oleh kerajaan/pemimpin diluar had undang-undang. Ianya tiada beza dengan perbuatan jenayah seperti culik, kurung, mencederakan dan/atau ugut dengan kekerasan. Yang melakukan perbuatan tersebut adalah penjenayah, dan yang mengarahkan perbuatan itu pun, penjenayah.

Kemana saya hendak bawa pembaca dengan cerita ini? Jangan bimbang. Saya cuma mengajak tuan/puan meneka apa sebenarnya telah berlaku kepada, “Sheih,” pemilik blog Kickdefella.

“Drama” kehilangan Sheih pertama dibawa ke mata masyarakat siber oleh blogger terkemuka Rocky’s Bru. Catitan ini kemudiannya disambut oleh Gerbang Ruhanie yang juga menyuarakan kebimbangan sesuatu yang buruk telah berlaku ke atas Sheih. Dan serentak komentar di blog-blog tersebut, topik ini telah hangat dibincangkan di KMU Dot Net.

Amnya, semua yang membincangkan kes kehilangan Sheih membayangkan persoalan samada Sheih telah ditahan di bawah ISA kerana menggonjengkan (menghina) Abdullah Ahmad serta Menantunya.

Petang tadi (Disember, 25) misteri kehilangan Sheih telah terjawab. “Sheih” telah mengumumkan penutupan blog asalnya, dan membuka blog baru – Kickdefella Return of the Prodigal Son.

Dua perkara tentang insiden “tutup-buka” blog ini yang menarik perhatian saya.

Pertama, kias “Sheih” dalam blog lamanya, yang terang-terangan berbunyi meminta maaf kepada seseorang/sesuatu.

Kedua, amaran “Sheih” dalam blog barunya kepada bloggers lain tentang apa yang boleh ditulis dan tidak dalam blog masing-masing.

Apa yang boleh kita semua rumus dari peristiwa ini? Selain dari hakikat bahawa blogging -- menyuarakan pendapat -- dalam aliran menentang regim pemerintahan yang ada kini adalah paling ber-risiko.

Blogger Abd Zarin Bin Mohd Yasin telah dipecat dari UMNO kerana mengkritik regim Abdullah Ahmad melalui blognya. Terdahulu dari itu, YB Datuk Husam Musa Naib Presiden PAS telah diugut saman mahkamah kerana menggebangkan skandal pembelian saham ECM-Libra oleh Menantu Abdullah. Dan saya percaya bahawa "raja segala blogger" yakni Raja Petra Kamaruddin (RPK) sendiri pun telah pernah diugut ekoran siri penulisan The Khairy Chronicle. (Soal RPK hendak mengakui hakkat ini atau tidak, itu soal lain).

Apa yang menarik tentang tindakan-tindakan yang telah dibuat ialah pertanda perasaan takut dan aib yang teramat sangat yang membawahi, mendorong tindakan. Seolah-olah pihak yang bertindak adalah terlalu nipis telinga, dalam keadaan terlalu tidak yakin diri, pantang dikritik, lantaran rasa terpukul. Insecurity at its nadir.

Rocky’s Bru menyuarakan persoalan samada perubahan sikap Sheih adalah berpunca dari di turn over atau telah di beli. Bagi saya, persoalan itu tidak penting. Sebab sikap saya dalam hal ini adalah mudah. Berani buat beranilah tanggung.

Tetapi apa yang teramat penting ialah samada Sheih sampai ke sikap itu setelah menjalani proses yang dibenarkan oleh undang-undang. Samada Sheih telah ditahan di bawah undang-undang ISA.

Jika benar Sheih telah ditahan di bawah ISA, maka soalan saya adalah mudah – Mengapa keluarga dan sahabat terdekat beliau tidak tahu ke mana beliau menghilang diri (hampir sebulan)? Lazimnya polis memberitahu keluarga mangsa tentang penahanan.

Sebaliknya, andaikata Sheih telah dikenakan tindakan extra judicial terrorism maka implikasinya adalah terlalu besar. Malaysia bukan lagi sebuah negara demokrasi! Pemerintahan bukan lagi untuk rakyat, oleh rakyat. Tetapi segalanya telah menjadi milek peribadi. Hinggakan wujud pasukan "polis" peribadi. Atau mudah cakap -- Mafia peribadi.

Mengapa boleh jadi begitu? Mungkin kerana pasukan keselamatan dalam negeri yang rasmi milek negara, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan Cawangan Khasnya (SB) telah dilihat "enggan" atau "lambat" bertindak menangani hal-hal "national interests" -- kepentingan negara.

Sehubungan ini mungkin telah timbul sedikit percanggahan tentang takrif apa itu "national interests" di antara PDRM dengan elit negara masakini yang berkepentingan. PDRM dan SB mungkin mempunyai satu piawai, rujukan sejarah dan budaya pemikiran yang tersendiri tentang apa itu maksud "mengancam keselamatan negara." Yang mungkin tidak merangkumi kepentingan "politik kedinastian" mana-mana individu. Manakala di pihak yang lain pula, national interests hanyalah bermaksud kepentingan air muka pemimpin dan keluarganya.

Lantas sikap -- kamu orang tak nak buat, kamu lengah-lengah, aku buat sendiri. Aku pun mampu mengupah.

Korollari tesis ini? Sama-samalah kita spekulasikannya.


Epilog: Maka itu saya ingatkan diri saya sendiri. Orang yang biasa dengan seluk beluk “permainan” mistik sepatutnya tahu dan faham bahawa kuasa dan kegemilangan adalah hanya satu tempuh semata-mata. Tempuh berlangsungnya perjanjian syaitan. Di hujung tempuh ialah kehinaan.

1 comment:

Rudin X said...

Sdr Sheih,

Sekaligus, saya ucapkan terima kasih kerana sudi melawat blog saya, terharu dengan galakkan yang diberi, dan diakui rasa flattered di atas perbandingan yang dibuat.

Mengapalah yang sampai dibandingkan dengan Anantatoer, yang mana saya akui upaya saya menulis dibandingkan dengan beliau adalah laksana tungau. (Mungkin penggunaan kata "yang" dipermulaan sesetengah ayat ada persamaan. Bukan maksud menciplak stail Anantatoer, cuma selesa bercerita gaya itu. Semuanya kebetulan.)

Sedikit pembetulan atas tanggapan sdr. Saya menulis bukan kerana meluah rasa/perasaan. Tetapi saya menulis bertujuan membuktikan kepada anak-anak (serta cucu kelak) saya bahawa bapa (datuk) mereka telah pun merakamkan protesnya tentang apa yang dia rasa tidak kena yang sedang berlaku pada negara.

Supaya anak-anak serta cucu-cucu saya kelak tidak mempersalahkan bapa/datuk mereka atas nasib yang menimpa mereka ketika itu. Nasib yang disebabkan struktur masyarakat dan ekonomi yang dipunahkan hari ini oleh Dollah dan Menantunya.

Maka itu, dengan adanya blog ini yang saya harap dirakamkan/cached untuk perpetuity, saya boleh menoleh ke belakang memberitahu anak cucu saya bahawa, diketika ini, dengan daya dan sumber yang ada, dengan undi pada pilihanraya yang nilainya satu jua, saya telah berbuat sesuatu.

Soal saya tidak mampu merobah apa-apa, itu soal lain. Yang penting saya dengan lapang dada akan boleh memberi penjelasan versi saya.

Salaam, dan Selamat Hari Raya Aidil Adha.

Rudin Kidam