Wednesday, September 17, 2008

Antara Soekarno & Haji Hadi Awang -- II

Bendera Belanda

Bendera Indonesia. Mengikut satu versi legenda asal usul bendera ini, Soekarno setelah menawan kota Yokjakarta dari penjajah Belanda, telah mengoyakkan bahagian bawah bendera Belanda yang dikibarkan di kraton (istana) Yokjakarta dan mengisytiharkan bendera 'baru' itu sebagai lambang Indonesia yang merdeka.

  • Kelahiran PAS

PAS yang Malaysia kenal dewasa ini sebagai sebuah parti politik yang diterajui ‘kepimpinan ulamak’ sebenarnya tidaklah sebegini asalnya.

PAS pada penciptaannya adalah dijadikan dari tulang rusuk UMNO!

Ironis, tetapi PAS dilahirkan disuatu mesyuarat di Kepala Batas di rumah Dato’ Ahmad Badawi, salah seorang ahli Biro Hal Ehwal Ugama UMNO – yakni bapa kepada Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah, perdana menteri Malaysia yang rata-ratanya penyokong PAS tersangat benci kini.

Bendera UMNO. Tidak perlu IQ tahap genius untuk meneka apa asal dan di mana induk pemikiran politik Melayu

Di mesyuarat tersebut, Hj Ahmad Fuad selaku ketua biro mencadangkan supaya biro farakah – keluar baris – dari UMNO untuk menyertai presiden UMNO ketika itu, Dato’ Onn Jaafar, yang telah bertindak keluar dari UMNO untuk menubuhkan sebuah parti politik berbilang kaum yang dinamakan Independence of Malaya Party (IMP) -- Parti Kemerdekaan Malaya.

Memulakan tradisi ‘rajuk Johor’ yang kemudiannya dituruti dalam pelbagai versi oleh Tun Ismail, Hussein Onn, Musa Hitam (dan harapnya janganlah pula Muhyiddin Yassin), Dato’ Onn merajuk langsung keluar UMNO setelah cadangannya membuka keahlian UMNO kepada kaum bukan Melayu di tentang oleh partinya sendiri.

Sehubungan peristiwa kelahiran PAS yang dunia kini anggap sebagai parti Islam yang dipimpin ulamak, izin saya mengajak pembaca mengamati satu ironis besar: wajah atau nawaitu yang di bayangkan dalam kepala bapa-bapa pengasas PAS di saat terpancutnya mani politik yang membenih menjadi PAS -- ialah sebuah parti politik berbilang kaum!

Bukan parti ethno-religious centric (berpaksi kaum-ugama) yang ada kini.

Hanya janin PAS membesar tidak jadi begitu, yakni sebuah parti politik berbilang kaum, kerana pengaruh Dr Burhanuddin al-Helmy – Bapa Kesedaran Politik Melayu – dan Haji Abu Bakar Baqir, mursyid Pondok Gunong Semanggul, Perak, yang mahukan parti yang bakal dilahirkan itu memainkan peranan yang lebih besar: mendokong Wawasan Melayu Raya.

Bendera asal PAS yang kadang-kadang diguna silih berganti dengan bendera'hijau bulat putih' membayangkan asal usul PAS

Dalam mencerminkan dokongan akan falsafah 'Melayu Raya,' PAS semasa pertama kali didaftarkan telah menggunakan nama rasmi Persatuan Islam Sa-Malaya (Pan-Malayan Islamic Association), dengan perlembagaannya membolehkan dwi-keahlian dalam PAS dan UMNO serentak!

Justeru membuat ahli PAS di zaman itu merasakan diri mereka pun UMNO, dan sebaliknya ramai di kalangan ahli UMNO merasakan mereka itu PAS.

Situasi ketidak terpisahan PAS dan UMNO itu bolehlah dibayangkan semirip dengan situasi ‘fana dalam pencarian’ yang kalau dalam puisi genre sufi-tasauf akan dideskripsikan oleh tuturan-tuturan syatahat seumpama – yang dicari dan mencari itu satu; aku adalah engkau, dan engkau adalah aku.

Ini satu realiti yang generasi muda pemimpin dan ahli PAS kini mungkin malu untuk akui, jika pun tahu.

Perlembagaan PAS itu kemudiannya ditukar bila PAS didaftarkan semula di bawah nama Pan-Malayan Islamic Party (PMIP) untuk membolehkannya bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1955. Penukaran nama rasmi PAS kepada Parti Islam Se-Malaysia dibuat di zaman Asri Muda, presiden kedua PAS, dalam era 1970han.

Bersambung.

2 comments:

Anonymous said...

Salam.
Hahahaha, kalau dah mualaf tu buat la cara mualaf, tak payah la baca satu buku, lantas mengulas macampakar, baru baca tiga empat artikel, tiba2 jadi pengulas hebat.

Untuk mengenali solat sebenar, tidak cukup hanya tahu rukun dan syarat sahnya. Mulakan dengan mengenali taharah dan najis. Bukan Natang, rudin, Najis.

Mung kenal Pas dengan Pas kelantan yang lebih politik drp Tarbiah, lps tu pandai2 nak komen Presiden!

Pi raaaa, belajar dari bawah dulu. Malam ni ada usrah tak?

Anonymous said...

Aku masuk usrah sejak berpuluh tahun lalu. Mula-mula aku memang suka berusrah. Lama-lama, aku meluat. Baik pergi mengaji tiap-tiap pagi Jumaat di pejabat PAS Kota Bharu daripada membuang masa berusrah. Aku rasa dua perkara:

1. Kalau dipimpin oleh naqib yang tidak Ustaz, berlakulah pelancapan akal yang sangat kurang ajar kepada Islam.

2. Kalau dipimpin oleh Ustaz, nasib kita baik kalau dapat Ustaz cerdik. Kalau dapat Ustaz bodoh, rasa nak baling buku usrah ke muka dia.

Masalahnya, kebanyakan Ustaz bodoh-bodoh belaka. Lihat saja Ustaz-Ustaz yang bercakap dalam muktamar PAS barui-baru ini.

Bayangkan, bila Ustaz dari Besut tu bercakap mewakili Dewan Ulama, aku pun berkata dalam hati, "Bodohnya... Nak memerintah guano ni!!"

Aku ni berfahaman terbuka. Tak kisah nak sokong mana dan apa pun asalkan ada hujah Islam. Tapi, jangan guna akal dan hujah bodoh. Jangan pamerkan kebodohan kamu!