Sunday, September 07, 2008

Pasca September 16: Habis Madu Se-PAS DiBuang?


Berita terkini – Pesta September 16 telah ditunda ke tanggal 17.

Memerhati dari Kelantan, saya dapati pemerhati politik negara kini rata-ratanya sedang dipengaruhi mass hysteria – histeria massa -- sedang dihanyutkan arus memuja ekspektasi masa depan negara yang diterajui Anwar Ibrahim.

Di satu sudut yang lain, saya dapati UMNO terkedu, terkincit dalam ketakutan menghadapi prospek kehilangan kuasa.

Gambaran ini paling ironis kerana saya yakin UMNO pun tahu bahawa penawar kepada situasi yang digalas kini adalah cukup mudah: gulingkan Dolah Badawi!

Habis cerita. Kemudian buka bab baru pada lembaran baru.

Memangnya semudah itu, kerana rakyat bukannya menolak UMNO secara total, rakyat cuma jelak dan tidak mahu Dolah dikepala UMNO. Dan batang tubuh UMNO pun tahu hakikat ini.

Tetapi sayang, kerana kita bukan orang UMNO, maka kita terpaksa bersabar menonton gambar UMNO yang enggan bertindak – UMNO yang selesa dalam pasrah menerima pancungan yang mendatang.

Pasca September 16 – Bagaimana rupa dasar luar Malaysia terhadap Singapura? Terbatalkah Wilyah Pembangunan Iskandar, Johor?

Dalam perkembangan yang lain, bijak pandai politik yang lantang dewasa ini tidak sedar akan batu asas, foundasi, kepada pletfom yang membolehkan mereka menyalak UMNO.

PAS adalah batu asas itu. PAS adalah talian hayat Anwar sebelum, semasa, dan selepas PRU ke-12; hatta di Permatang Pauh.

Strategi Dolah untuk mengekang pengaruh Anwar dalam politik negara memang tepat -- nafikan Anwar pengkalan pengaruh di kalangan grassroot Melayu-Islam. Cuma perlaksanaan strategi tidak menjadi. Atas alasan “perpaduan Melayu-islam” Dolah mengumpan PAS bergabung dengan UMNO.

Namun malang bagi Dolah, PAS berpecah dua disaat tergenting dalam karier politik dia. Kumpulan “Anwarista-Erdogan dalam PAS” telah berjaya menyekat jarum ejen-ejen harapan Dolah -- kumpulan “UMNO dalam PAS.” Jika sebaliknya, di Permatang Pauh Anwar mungkin sudah mengingau di siang hari.

Apapun perhatikan dengan teliti di mana punca dan sumber pengaruh Anwar:

  • Ada masalah untuk menyakinkan pengundi Melayu-Islam akan kesesuaian memimpin Malaysia setelah meng-karaoke-kan lagu-lagu Malaysian Malaysia gubahan DAP? Muktamar PAS menjadi pembesar suara “memperbetulkan” cerita.

  • Ada masalah dengan sumpah laknat? Nik Aziz, Haji Hadi dan Haron Din jadi benteng penolak bala, jadi tukang pembentang hukum dan nas.

Lapangkan dada dan minda, tarik nafas panjang dan hembus perlahan-lahan, pejamkan mata dan imbas kembali semua tajuk berita besar dalam tempoh dua tiga minggu lepas. Cuba kenangkan berapa kali Lim Kit Siang atau Karpal Singh telah membuat statemen media yang meng-amin-kan tindakan atau kedudukan Anwar?

1 comment:

ibnmustaffa said...

Betullah pendapat saudara. PAS adalah batu loncatan utk Anwar@PKR@DAP untuk berkuasa.

Tapi, tengok macam, sePAS dibuangnya. Harap Islam memerintah Malaysia.