Tuesday, September 16, 2008

Antara Soekarno & Haji Hadi Awang -- I


Aha! Hari ini tiada cerita tentang Anwar dan 16 September? Tiada cerita tentang pertelagahan dalaman PAS? Cerita kemajuan usaha jiwa-jiwa progresif dalam UMNO menggulingkan Pak Lah, pun, tiada? Uuuu … blog ini tidak konsonan, tidak seiring dengan rentak semasa!

Ya, kiranya begitulah. Hari ini saya memilih untuk tidak menyertai korus siber mendendangkan lagu-lagu pro-kontra ‘Gerakan September 16’ atau nasyid-nasyid gulingkan Pak Lah.

Sebaliknya hari ini saya ingin berkongsi pemikiran saya tentang isu-isu struktural, yakni isu kerangka batang tubuh PAS dan bagaimana masalah struktural ini telah membataskan kemajuan PAS dalam usahanya menjadi sebuah parti politik yang dominan dalam lanskap politik negara; selama ini, dan di masa hadapan.

Hipotesis saya sehubungan isu-isu struktural ini ialah PAS sejak sekian lama telah dimanipulasi dan dicaturkan oleh UMNO sebegitu rupa: menjadi tidak lebih dari satu badut politik; sehinggakan jika pengundi diajak membuat perbandingan, tidak boleh tidak, rumusannya UMNO itu kelihatan jauh lebih ceria dan jauh lebih cerdik.

Untuk membawa cerita yang kompleks ini, saya mulakan dengan satu tajuk yang sekali imbas nampak dangkal lagi tidak munasabah, tetapi satu yang saya percaya dapat memberikan konteks di mana saya boleh perturunkan istilah-istilah asas tentang politik dan kenegaraan.

Dengan memahami istilah-istilah ini, sekali pun pembaca tidak faham atau tidak setuju sepenuhnya dengan plot besar yang diceritakan, pembaca sekurang-kurangnya akan mampu mendominasi sebarang perbahasan dalam sessi-sessi parlimen kedai kopi.

Ada apa dengan Soekarno?

Bagi ramai pengunjung blog yang berumur 40 tahun ke bawah, nama Achmed Soekarno (lahir Jun 6, 1901 – wafat Jun 21, 1970), Presiden dan Bapa Kemerdekaan Indonesia, mungkin tidak membunyikan apa-apa loceng dalam kepala.

Soekarno yang juga dipanggil rakyatnya dengan nama timangan, Bung Karno, adalah seorang pemimpin yang karismatik lagi berkeupayaan intelek yang tinggi.

Di kemuncak kerjayanya dunia pernah menganggap beliau sebagai gergasi di kalangan pemimpin dunia ketiga, layak berdiri sebaris dengan pemimpin besar lain seperti Gamal Abdel Nasser (Mesir), Pandit Jawaharlal Nehru (India), Josip Broz Tito (Yugoslavia), Mohammad Ali Jinnah (Pakistan), U Nu (Burma), dan Kwame Nkrumah (Ghana).

Diringkaskan cerita, tanggal 2 Oktober 1965 Sukarno telah digulingkan oleh seorang jenderal tentera bernama Soeharto dengan bantuan Amerika Syarikat.

Peritiwa itu berlaku selang tiga hari gagalnya satu pecubaan merampas kuasa oleh satu gugusan pelbagai fraksi politik Indonesia yang dipanggil Gerakan September 30.

Berbeza dengan kerajaan Pak Lah Tiga Beranak yang memerintah negara tanpa satu hampas idealisme atau falsafah kenegaraan (selain dari azam mengkayakan keluarga perdana menteri), Indonesia mengingati Sukarno sebagai pencetus dan pendokong dua ideologi besar kenegaraan: Demokrasi Terpimpin,” dan “Nasakom.”

"Demokrasi terpimpin” adalah satu istilah yang tidak disenangi sebilangan besar pemimpin Indonesia lain yang sezaman Soekarno. Ramai menafsirkannya sebagai “otokrasi terbatas.”

Soekarno sendiri tidak pernah menjelaskan setepatnya maksud demokrasi terpimpin. Tetapi saya boleh bayang jika Soekarno tidak digulingkan, perlaksanaan konsep ini adalah semirip dengan model demokrasi yang Tun Dr Mahathir amalkan sepanjang 22 tahun pemerintahnya.

“Nasakom” ialah akronim bagi tiga ideologi -- NasionalismeAgamaKomunisme – yang masing-masingnya didokong dan diwakili oleh tiga fraksi besar politik Indonesia masa itu: Tentera, Islam politik, dan Parti Komunis Indonesia (PKI).

Walaupun pada zahirnya Nasakom adalah satu percubaan menghidupkan konsep representative democracy – demokrasi yang mewakili semua fraksi secara saksama – tafsiran sejarah kini melihat Sukarno sebagai lebih condong kepada komunisme disebabkan pengaruh D.N. Aidit, setiausaha agung (sekjen) PKI. Kepencungan itu tidak disenangi fraksi-fraksi lain, khususnya fraksi nasionalis yang diwakili tentera.

Kemuncak kepencungan itu ialah Gerakan September 30 yang dilihat sebagai didalangi PKI, yang mana kegagalan gerakan ini mengambil alih pemerintahan Indonesia telah menjadi sebab dan memberi peluang kepada tentera merampas kuasa.

Megawati Soekarnoputri presiden ke enam Indonesia adalah anak Soekarno.

Apa kena mengena Haji Hadi Awang dengan Soekarno?

Penampilan kedua-dua tokoh dizaman muda mereka sebagai seorang demagog (demagogue) keupayaan membangkitkan emosi pendengar melalui pidato -- adalah persamaan yang wujud di antara Haji Hadi Awang dengan Soekarno. Bertolak dari persamaan itu, dari aspek lain, perbezaan di antara keduanya adalah ketara.

Dari segi karisma, jika hidup sezaman sekalipun, Haji Hadi Awang sebagai Presiden parti PAS adalah terpisah langit dan bumi berbanding Soekarno. Berbeza dengan Soekarno yang dikagumi pengikut, Haji Hadi tidaklah dikagumi, sekadar dihormati, sebagai extension – lanjutan – kepada hormat terhadap kerusi presiden parti yang diduduki.

Dari segi ideologi dan falsafah, saya tidak nampak Haji Hadi sebagai pencetus atau pendokong apa-apa idealisme yang istimewa lagi jelas. Dan jika ada satu keistimewaan intelektual tentang Haji Hadi, maka kontroversi yang dicetusnya melalui laungan “membentuk negara Islam” itu mungkin bolehlah dikatakan sebagai keistimewaan beliau. Itu, dan “Amanat Haji Hadi.”

  • Haji Hadi dan retorika ‘Negara Islam’

Saya adalah seorang ahli PAS, atau lebih tepatnya seorang ‘mualaf PAS.’ Diakui saya bukanlah seorang pembaca yang mendalam akan sejarah perjuangan PAS. Maka itu saya jemput pembaca yang lebih alim supaya memberi komen dan input kepada statemen-statemen saya yang selanjutnya.

Bagi saya, retorika “membentuk negara Islam” yang dipopularkan Haji Hadi telah meletakkan PAS dalam satu kedudukan yang sukar dipertahankan dengan yakin.

Ini kerana saya melihat selain Haji Hadi (yang dia sendiri pun nampak kabur), pemimpin-pemimpin PAS yang lain serta kader-kadernya tidak mempunyai satu wawasan yang konkrit – apatah lagi konsensus atau kata sepakat -- tentang apa itu sebenarnya “negara Islam” yang PAS perjuangkan.

Apa tidaknya begitu, sedangkan perlembagaan PAS itu sendiri tidak menyebut tentang penubuhan “negara Islam” sebagai objektifnya.

Sehubungan, kita boleh baca dan tafsir secukup rasa akan wujudnya hasrat menubuhkan satu entiti yang dipanggil “negara Islam” dalam perlembagaan PAS, tetapi harfiahnya, secara literal, perkara ini tiada (sila betulkan jika saya silap).

Dalam aspek ini saya dapati nasib PAS itu malang disebabkan retorika Hj Hadi Awang.

Dunia memahami “negara islam” itu sebagai satu bentuk teokrasi (theocracy) yang dicerminkan oleh dua contoh ekstrim:

(a) Arab Saudi, sebuah monarki di mana raja mempunyai kuasa mutlak, dengan negara ditadbir menggunakan undang-undang syariah, atau apa-apa lain yang ditafsirkan sebagai “undang-undang syariah.”

(b) Iran, yang sekali imbas nampaknya sebuah republik, tetapi sebenarnya adalah sebuah oligarki (oligarchy) yang dikuasai kelompok atau kasta ulamak.

Dalam kata lain, model negara Islam yang ada dalam kepala rakyat Malaysia, khususnya intelektual parti-parti politik selain PAS, ialah pilihan antara monarki (diperintah oleh seorang) atau oligarki (diperintah oleh beberapa orang).

Di mana dalam kedua-dua bentuk negara ini, orang bukan-Islam akan secara otomatis tidak dilayakkan menjadi pemimpin. Bahkan dalam model oligarki Islam, penganut Islam sekalipun tidak semestinya layak jadi pemimpin, kalau orang yang berhajat itu tidak tergolong sebagai “ulamak.” Nyata ini satu paradigma yang sukar diterima naluri manusia yang semahunya inginkan peluang menjadi pemimpin!

  • 'Negara Islam' Haji Hadi lawan Demokrasi Representatif

Maka bertembung dan bersanggahanlah retorika “negara Islam” dengan amalan representative democracy – demokrasi yang mewakili semua kelompok -- yang selama ini diamalkan di Malaysia.

Semenjak merdeka, rakyat Malaysia hanya kenal satu model kenegaraan saja, yakni representative democracy.

Dan dari pengalaman, rakyat mendapati melalui demokrasi versi ini, semua kelompok masyarakat mempunyai tempat dan ruang dalam proses membuat keputusan negara, khususnya, keputusan-keputusan berkaitan pengagihan sumber ekonomi.

Disebabkan pengalaman itu “manis”, maka sebarang usaha untuk menyakinkan rakyat bahawa model-model kenegaraan yang lain seperti “negara Islam,” pun adalah baik, secara otomatis menjadi tugasan yang tersangat sukar.

Kegagalan Haji Hadi Awang dan PAS pimpinannya menjelaskan secara realistik konsep “negara Islam” yang diperjuangkan, serta di mana suara dan kepentingan orang bukan-Islam dalam skema itu, telah menjadikan retorika “negara Islam” satu handicap kepada PAS.

Penghalang besar yang sekaligus bersifat beban yang menarik turun, dan tembok tinggi yang sukar dipanjat, bagi PAS menyakinkan Malaysia bahawa sememangnya “Islam (PAS) itu untuk semua.”

… bersambung.

4 comments:

luaskanmata said...

Amww:

Baru dikatakan penulisan menggarap minda.

Saya mungkin ada sedikit persamaan dan perbezaan dengan apa yang dilontarkan.

Sebagai tugasasas, Hj Hadi berjaya mewarnai politik Malaysia. Saya suka membangkitkan suasana 80-an dan awal 90-an. Masa tu saya mulai tahu belum faham sepenuhnya kewujudan parti-parti politik.

Pada waktu itu, suana rakyat lebih melihat Hadi dan PAS sebagai satu sinonim. Biarpun Hadi belum menjawat presiden, beliau sentiasa diperhati. Ini ditambah pula dengan ucapan yang bagi Hadi tidak pernah diminta untuk namanya disandarkan sebagai pemberi amanat.

Amanat Hadi menggusarkan musuh dan propaganda dimainkan. Itu tak mahulah saya ulas panjang.

Jiwa Hadi yang terdidik sejak kecil dengan lunas-lunas Islam, telah menjadikan bliau seorang yang agak pendiam kepada seorang yang mampu ke hadapan. Macam mana ia berlaku?

Jawabnya, sewaktu pengjaiannya di Mesir, beliau menemui rakan-rakan yang dapat mencungkil ketokohan beliau dengan dorongan tarbiah gerakan Islam di Mesir.

Secara ringkas, Hadi perlukan back up atau sahabat untuk menggerakkan sesuatu.

Berbalik dalam ruang lingkup politik, penyertaan Hadi secara aktif dalam PAS adalah usaha beliau menyerlahkan Islam bagi didaulatkan dan dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau secara peribadi akui bahawa PAS bukannya suatu gerakan yang menyamai gerakan-gerakan Islam di Mesir. PAS adalah parti politik dan bisa saja terikut dan terikat dengan rentak politik.

Ha, di sinilah delema Hadi dalam menggerakkan PAS. Sedar bahawa PAS adalah parti politik, beliau cuba membangunkan PAS untuk tidak hanya menjadi parti politik. Usaha ini pada pengamatan saya jauh dari berjaya.

Usaha-usaha PAS dalam membina ilmu, membina tarbiah, membina ekonomi dan memahami serta membina sosiologi masih banyak sangat yang perlu dikaji dan dihalusi.

Saya yakin, Hj Hadi sedar hal itu. Namun beliau tidak mempunyai jaringan back up parti yang mantap selain back up yang menumpukan usaha dalam berpolitik semata-mata.

Rasul Allah semasa menerajui Madinah sekalipun mendapat nasihat dari para sahabat khususnya dalam hal-ehwal keduniaan. Hal yang serupa itulah amat kurang dalam PAS.

Cukuplah kot setakat ini.

Lepas hambat kambing masuk nanti, tulis lagi, saya turuti Insya Allah.

Salam jihad.

Nevada said...

salam bung rudin,

salah satu bebanan bagi parti pas, secara tidak disedari mereka ialah, adalah mentaliti ahli-ahli mereka yg bersifat 'totok pas' dan 'pas totok' dalam konteks assabiyah terhadap parti yang mana membuatkan pemikiran mereka agak sukar hendak melihat diluar kotak pemikiran pas itu sendiri....oleh yg demikian, rata-rata mereka ini tidak dapat/mahu melihat kearah sistem yg lain dan oleh yg demikian mereka menjadi tidak fleksible dalam pemikiran mereka.. tu yg selalu kena tipu tu..

dan seterusnya, masalah bagi sesetengah ahli pas ini ialah ujub terhadap taraf dan tahap keislaman dan keimanan mereka sehingga mempunyai prasangka terhadap org islam yg 'nampak tak berapa warak' apatah lagi kalau org itu memang dah bukan islam.. hanya masuk zaman milenium ini kita dapat melihat terdapat beberapa golongan pemimpin dalam pas (yg diklasifikan sebagai golongan professional, as opposed to golongan ulama) yg dilihat agak terbuka dalam penerimaan mereka terhadap org 'hak jahil' dan 'hak kapir'. lantas - tertubuhnya kelab penyokong pas...

perkara-perkara diatas telah membataskan perkembangan pas itu sendiri, dan bertentangan dgn prinsip-prinsip dan methodology of dakwah itu sendiri..

jadi sayanglah, sebab ramai orang yg nak lihat pas dapat govern malaysia, tapi kalau mcm ni sampai bila?

wallahua'lam.

ALI MAIDIN said...

Persoalan Pas ialah konsep anutan falsafah politik islam yang dibawanya. Politik Islam Pas boleh menerima semua model islam terdahulu sehingga menerima cara hidup Muawiyah. Lantaran itu penentangan kepada kejahatan ke atas Umno/BN tidak ada kesan kerana cara hidup Pas sama dengan Umno apabila memerintah; contohnya semasa memerintah Kelantan, terangganu dan kedah kini.

MK IV said...

ohhh itu macam kaa....