Thursday, September 18, 2008

DYMM Yang DiPertuan Agong & Majlis Raja-Raja

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin menandatangani Surat Sumpah Jawatan dan Ikrar Taat Setia pada Istiadat Mengangkat Sumpah memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong XIII pada 13 Disember 2006. Sumber: Perpustakaan Foto, Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia

Satu perkara yang membuat saya bangga tentang Gerakan September 16 yang dikemudi Ahli Parlimen P44 Datuk Seri Anwar Ibrahim, ialah, dewasa ini rata-ratanya rakyat dari semua kaum telah sedar dan mula melihat betapa pentingnya kedudukan DYMM Yang DiPertuan Agong dalam lanskap politik Malaysia.

Kini nampaknya kedua-dua pihak yang terpisah dan saling menentang dalam arena politik Malaysia semacam mahukan syafaat – simpati dan pertolongan – dari DYMM Yang DiPertuan Agong untuk menjayakan aspirasi politik yang mereka dokong.

Pakatan Rakyat berhajat DYMM Yang DiPertuan Agong berkenan akan usaha mereka membentuk kerajaan baru, manakala pada pertimbangan yang lain, kerajaan Pak Lah berharap agar DYMM Yang DiPertuan Agong bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka.

Saya dapati situasi ini komikal (comical) kerana sebelum ini saya amati rakyat terlalu jarang, tahap tidak memperkatakan langsung, aspek kuasa DYMM Yang DiPertuan Agong dalam aturcara dan halatuju perjalanan politik negara.

Lazimnya jika pun sebarang polemik politik mengungkit kuasa yang lagi tinggi, apa yang akan dirujuk oleh pariah-pariah ini dengan angkuh ialah “parlimen” dan “perlembangaan artikel itu dan ini.”

Kini politikus dan penganalisis politik Malaysia, khusus mereka-mereka yang bukan Melayu sudah kenal siapa DYMM Yang DiPertuan Agong, izin saya tunjukan hakikat bahawa disamping Tuanku DYMM Yang DiPertuan Agong ada lagi satu institusi yang mempunyai kuasa yang lebih besar. Institusi itu ialah Majlis Raja-Raja.

Majlis Raja-Raja merupakan sebuah badan rasmi yang ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai tempat bagi Raja-Raja dan Yang di-Pertua - Yang di-Pertua Negeri bertemu dan berbincang. Dalam beberapa perkara yang tertentu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan supaya memperolehi nasihat daripada Majlis Raja-Raja. Urusan pemilihan dan perlantikan Yang di-Pertuan Agong juga terletak pada Majlis Raja-Raja. Selain itu, majlis ini merupakan kuasa tertinggi dalam hal ehwal Islam di Malaysia.

Majlis ini dianggotai oleh semua sembilan Raja Melayu dan empat Yang di-Pertua Negeri di Malaysia. Mengikut peraturan hanya Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja-Raja sahaja yang layak mempengerusikan mesyuarat dan ianya dipengerusikan mengikut giliran yang ada dalam susunan sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis. YAB Menteri Besar / Ketua Menteri hadir sebagai penasihat kepada DYMM Raja-Raja dan TYT Yang di-Pertua - Yang di-Pertua Negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hanya berangkat hadir pada mesyuarat hari kedua dengan diiringi oleh YAB Perdana Menteri sebagai penasihat. Ini menjadikan mesyuarat ini sebagai mesyuarat ‘tertinggi’ di Malaysia. Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong biasanya hanya hadir jika mesyuarat tersebut akan melantik Yang di-Pertuan Agong atau Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya atau ia membincangkan polisi negara.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dilantik sebagai setiausaha Majlis Mesyuarat Raja-Raja.

Darihal institusi ini, dari satu sisi -- mohon patek harap diampun – boleh dikatakan bahawa Tuanku DYMM Yang DiPertuan Agong adalah hanya jurucakap kepada konsensus atau kata sepakat (samada formal atau tidak formal) yang dicapai oleh Majlis Raja-Raja tentang sesuatu permasalahan negara yang melibatkan perkenan Tuanku DYMM Yang DiPertuan Agong (contoh, isu memilih perdana menteri).

Atau dalam kata lain, perkenan Tuanku DYMM Yang DiPertuan Agong akan sesuatu isu itu bukanlah keputusan perseorangan, tetapi mencerminkan keputusan kolektif Majlis Raja-Raja.

Ini kerana Artikel 38(6) Perlembagaan Malaysia memberi kuasa kepada Majlis Raja-Raja untuk menyingkir Tuanku DYMM Yang DiPertuan Agong jika didapati Tuanku telah bertindak bercanggah dengan hasrat dan keputusan Majlis Raja-Raja.

Oleh itu janganlah kita atau pendokong Gerakan September 16, hatta kepimpinan Pakatan Rakyat, menganggap penyelesaian kepada sesuatu isu kenegaraan itu -- seperti mendapat watikah perlantikan perdana menteri -- semudah membuat temujanji menghadap Tuanku DYMM Yang DiPertuan Agong, atau berarak ke Istana Negara.

Sehubungan, izin saya bertanya kepada strategis dan bijak pandai Pakatan Rakyat: apakah usaha yang tuan-puan sudah buat untuk memastikan sembilan Raja-Raja Melayu telah pun maklum akan perkembangan politik terkini negara?

It is the lobby, stupid!

2 comments:

Fazrulls said...

Salam Tuan...

Daulat Tuanku..moga mereka tetap ingat malaysia sebuah negara raja berperlembagaan...

Salam mesra,

Nevada said...

sistem yg tuan sebut diatas lah yg membuatkan saya tidak pernah ambil peduli apabila UMNO berkata kedudukan melayu terancam... ini kerana sistem diatas jelas dapat menjamin kepentingan org melayu di dalam politik, hatta jikalau majoriti ahli parlimen adalah terdiri drpd org bukan melayu.. contoh yg paling jelas boleh dilihat diperak sekarang ini ...