Saturday, September 27, 2008

Buang Kerja: Notis Tiga Bulan

Pak Lah ... Pak Lah ... tak kesian, nak kesian ... tapi kalau kesian, lain pulak jadinya ...

Penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke bulan Mac 2009 – tiga bulan – selepas tarikh asalnya dijadualkan pada pertengahan bulan Disember 2008, bolehlah dilihat sebagai ‘tempoh ehsan’ kepada karektor-karektor yang bakal dipelantingkan keluar dari jawatan-jawatan tinggi dalam UMNO.

Tempoh ehsan tiga bulan bagi kaki tangan yang diberhentikan kerja adalah satu amalan rutin bagi badan-badan korporat di seluruh dunia. Ganti kepada notis tiga bulan ialah majikan membayar gaji tiga bulan dengan kaki tangan diberhentikan serta merta.

Sangkanya Panas Hingga Ke Petang

Sebelum ‘pemberontakan senyap’ yang berlaku dalam tempoh seminggu-dua kebelakangan ini di kalangan pasukan pengurusan, saya tidak jangka ada pihak yang terfikir -- termasuklah Pak Lah dan Menantunya sendiri -- bahawa pemegang pemegang saham (koperasi) UMNO (Bhd) akan mengambil sikap tegar, sanggup membuang Pak Lah dari jawatan ketua eksekutif yang disandangnya. Ini kerana tidak lama sebelum ini Majlis Tertinggi UMNO telah pun bersetuju menyambung kontrak perkhidmatan Pak Lah selama dua tahun ke tahun 2010.

Seperti gelagat biasa yang Pak Lah tunjukan dalam tempoh lima tahun menerajui Malaysia, dalam banyak isu kepentingan masyarakat, bila ditanya wartawan Pak Lah akan berlakun bagak dan tinggi, mahu tunjuk dia punyai kawalan mutlak ke atas isu. Tidak terkecuali kali ini.

Bila ditanya wartawan samada beliau akan mengundur diri secara aman lagi sukarela, Pak Lah jawab bahawa hanya dia yang boleh tentukan kemungkinan itu. Jawapan itu adalah cukup tidak cerdik (seperti biasa).

Gelecek Yang Tidak Menjadi

Saya merumuskan sebegini setelah mengambil kira bahawa hajat sebenar Pak Lah di pagi Jumaat September 26 (kelmarin) ialah supaya MT UMNO bersetuju untuk menangguhkan bukan setakat PAU, tetapi sekaligus Mesyuarat Perwakilan 191 Bahagian UMNO yang dijadualkan berlangsung dari Oktober 9 hingga November 9, 2008. Yang malangnya bagi Pak Lah, rintihan yang ini telah tidak dilayan oleh Najib Tun Razak dan lain-lain ahli MT yang berpengaruh.

Bolehkah Pak Lah dapat 14 pencalonan dari Kelantan? 13 dari Pulau Pinang?

Saya berpendapat pemilihan presiden, timbalan, naib, dan ahli-ahli MT yang menjadi kemuncak PAU kali ini adalah tidak lebih dari buah cherry merah dan icing di atas kek. 90% dari (ramuan) keputusan sebenar akan dibuat (digaul, dibancuh) dan diumumkan semasa Mesyuarat Perwakilan 191 Bahagian UMNO. Hakikat ini akan boleh dilihat jelas dari pola pencalonan yang diputuskan.

Tipu Diri Sendiri?

Justeru, tarikh PAU itu boleh dianjak sesuka hati, anjaklah semahunya, tetapi keputusan sebenar siapa presiden, timbalan, naib dan ahli majlis tertinggi UMNO akan terpahat pada tengah malam November 9, 2008.

Mana-mana penyandang jawatan yang menawarkan diri bertanding tetapi gagal mendapatkan kuota pencalonan yang mencukupi, bolehlah menganggap diri mereka sudah dijatuhkan hukuman mati (kerjaya politik).

Bermula dari tarikh itu, hinggalah ke tarikh PAU, mereka-mereka itu adalah tidak ubah seperti bangkai berjalan. Lagi lambat dikebumikan, lagi membusuklah bangkai itu di hidung masyarakat. Semulajadinya akan dihina masyarakat, tanpa mengira jawatan dalam kerajaan.

Melayu Bangsa Pemaaf, Bangsa Pengamuk

Kedegilan Pak Lah tidak mahu merendah diri dan mengaku kalah secara terbuka, sebaliknya berdolak dalih tentang tarikh perletakan jawatan, malah keengganan beliau berterus terang samada mahu pertahankan jawatan atau sebaliknya, hanya akan melipat gandakan marah dan azam grass root (akar umbi) UMNO untuk menyingkir beliau di peringkat pencalonan.

Jika sebelum ini ada 30-40 bahagian yang mungkin ‘masuk hati’ dengan ‘aura dan kemurahan hati’ Pak Lah, sikap berdolak dalih yang beliau pamerkan mungkin boleh menyebabkan sokongan itu terhakis ke tahap 15-20 bahagian saja.

Si Kudung Yang Tamakkan Cincin

Ini kerana dan lebih-lebih lagi, sebagai satu-satunya manusia dalam negara yang ada kuasa mutlak untuk mengarahkan bagaimana RM440 billion rizab antarabangsa Malaysia itu digunakan – atau dalam kata lain lelaki paling berkuasa di kalangan 26 juta umat Malaysia -- apa juga jawapan yang teragak-agak, mambau dan tidak tegas yang keluar dari mulut Pak Lah adalah cerminan kepada hakikat impotensi -- mati pucuk -- zahir dan batin yang tidak boleh diubati lagi.

ps/

Mengikut jadual UMNO, sepak mula mensyuarat perwakilan bahagian akan dibuat oleh UMNO Bahagian Tenggara, Johor (10 Oktober). Pak Lah tidak boleh terlalu yakin Hishamuddin Tun Hussein selaku ketua bahagian akan dapat mencalonkan beliau sebagai presiden. Dan kalau dicalonkan sekalipun, Pak Lah tidak boleh mengharapkan pencalonan itu menjadi momentum dan petunjuk kepada bahagian-bahagian lain. Ini kerana, selepas Tenggara, UMNO Bahagian Pagoh yang diketuai Muhyiddin Yassin akan bermesyuarat (12 Oktober). Keputusan mensyuarat yang ini mungkin akan menjadi momentum …

No comments: